Berlandaskan kata-kata ‘For Anyone Who Desires Moslem Atmosphere’ yang bermaksud ‘Buat Sesiapa Yang Inginkan Persekitaran Muslim’, Hotel Lingga di kota Bandung, Indonesia pasti menepati citarasa tersebut. Terletak di Jalan Soekarno Hatta, hotel yang berteraskan konsep keislaman ini menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar harga yang sangat berpatutan tanpa meminggirkan nilai-nilai keislamannya.

Hotel ini tidak menjual sebarang minuman beralkohol. Walau bagaimanapun, tidak bermakna hotel ini tidak lengkap dengan kemudahan-kemudahan lain. Ia juga mempunyai kolam renang kecil buat kanak-kanak, dewan-dewan acara,wi-fi percuma dan banyak lagi!

Buat yang ingin menunaikan Solat Jumaat juga, anda tidak perlu risau kerana pada setiap hari Jumaat dewan utamanya dibuka dan dijadikan ruang bersembahyang buat umat Islam yang bekerja di sekitar kawasan hotel tersebut. Ini juga memudahkan para tetamu hotel yang beragama Islam kerana mereka tidak perlu bersusah-payah mencari masjid pada setiap hari Jumaat.

Konsep keislaman unik ini telah membuka ruang untuk satu kumpulan pasaran yang baru, iaitu mereka yang mungkin lebih selesa dengan persekitaran ‘Islamik’. Hotel ini turut dilengkapi dengan bilik-bilik pelbagai saiz sesuai untuk mereka yang datang berkunjung sendirian atau dengan keluarga dan rakan-rakan. Senireka dalaman hotel ini juga indah dihias dengan gaya tersendiri. Seperti mana-mana hotel lain, setiap bilik dilengkapi dengan televisyen yang mempunyai saluran TV satelit, di samping alat penghawa dingin dan bilik mandi yang lengkap.

Harus juga ditekankan bahawa pengusaha hotel Lingga tidak mahu orang awam beranggapan bahawa hotel ini sebuah hotel yang anti-warga bukan Islam. Mereka hanya mengamalkan konsep Islam tetapi kami sama sekali tidak menghalang orang bukan Islam untuk berkunjung. Yang penting, kesemua tetamu hotel mesti menghormati prinsip mereka iaitu tidak membawa masuk minuman beralkohol dan barangan makanan yang haram, tidak berjudi, serta tidak membawa pasangan yang bukan muhrim ke dalam bilik.

Hotel yang terletak di lapangan yang sangat luas ini boleh ditujui dengan menaiki pengangkutan awam dari pusat kota Bandung. Tergantung kepada keadaan lalulintas, secara amnya masa yang diambil untuk ke hotel ini daripada pusat kota adalah sekitar 15 sehingga 20 minit sahaja dengan menaiki teksi.

Bagi mereka yang berminat untuk menginap di Hotel Lingga kala berada di Bandung, bolehlah melayari laman sesawang mereka di www.linggahotel.co.id atau menghubungi mereka secara terus di nombor aplikasi Whatsapp +62 81321895561

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah