Filem animasi masa kini bukan lagi hiburan kosong. Kebanyakan filem animasi atau kartun zaman sekarang bukan sahaja menarik untuk tontonan kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

Ini kerana jalan cerita yang dipaparkan kerap mempunyai pengajaran dan teladan untuk panduan semua.

Terbaharu dari Disney dan jagoan animasi Pixar, filem berjudul Elemental muncul dengan keunikan tersendiri.

Sejujurnya, filem ini merupakan satu kisah yang mudah namun apa yang membuatnya menyerlah adalah konsep serta tema penceritaannya.

Ia mengisahkan sebuah dunia yang diduduki oleh makhluk-makhluk yang tercipta dari empat unsur bumi yang berbeza iaitu api, air, angin dan tanah.

Mahkluk-makhluk ini yang jelas berbeza gara-gara kebolehan dan paras rupa mereka belajar hidup bersama di sebuah kota yang dinamakan Element City.

Di kota tersebut kesemua penduduknya bercampur-gaul tanpa menghiraukan perbezaan masing-masing.

Dalam perbezaan yang besar tersebut lahirlah kisah Ember seorang yang berunsur api yang bertemu dengan Wade yang berunsur air.

Ember bercita-cita menguruskan kedai ayahnya manakala Wade pula ditugaskan untuk menutup operasi kedai mereka kerana tidak memenuhi piawaian tertentu.

Bertemu secara tidak sengaja dan tidak menyukai satu sama lain, hubungan Ember dan Wade kemudian berkembang menjadi satu persahabatan yang unik.

Sedikit demi sedikit mereka mula menghormati dan menerima perbezaan masing-masing walaupun ditentang oleh ayah Ember sendiri.

Pesan yang disampaikan dalam cerita ini sebenarnya tidak sulit difahami. Elemental menyeru penonton mengerti konsep penerimaan, toleransi dan saling menghormati biarpun berlainan latar belakang.

Ia juga menyahut konsep keterangkuman serta kebersamaan berbilang kaum yang digambarkan dengan aneka visual menarik.

Selain skripnya yang lucu dan tata layar yang begitu cantik serta berwarna-warni, Elemental juga menjanjikan runut bunyi yang tidak kurang menarik.

Jika anda peminat animasi kreatif, Elemental sememangnya sesuai buat seisi keluarga.

Elemental telah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Jun 2023.

Share:
You may also like
Latest Posts from Travellah