Satu benda wajib untuk dibawa ketika bercuti ialah alatan dan gajet untuk merakam gambar dan video untuk dijadikan kenangan. Bagi yang suka travel light, telefon pintar adalah segala-galanya.
Jika anda sedang mencari telefon pintar untuk menggantikan dengan yang ada (mungkin rosak atau sudah terlalu lama), apa kata anda dapatkan siri Honor 90 yang memiliki kehebatan teknologi masing-masing. Ini termasuklah memiliki resolusi kamera setinggi 200MP dan siri ini mempunyai elemen yang agak mengejutkan.

Jadi, pasti anda ingin tahu sama ada model ini berbaloi untuk dimiliki atau sebaliknya bukan? Ikuti ulasan penulis yang telah menggunakan telefon ini selama sebulan. Telefon yang dijual pada harga bermula RM1,799 (12GB+256GB) dan RM2,099 (12GB+512GB) ini memiliki skrin 6.7-inci AMOLED dengan resolusi 2664×1200 piksel serta kadar segar semula 120Hz.
Secara dasarnya speksifikasi ini sudah cukup untuk memuaskan hati anda. Kelancaran sistem sentuhnya juga tidak menjengkelkan biarpun ia disentuhnya dengan kerap.
Penulis turut mencuba sendiri kejelasan skrin telefon pintar ini dengan menonton Netflix, ternyata ia memiliki visual yang terang dan jelas dengan hanya menggunakan tahap pelarasan sederhana. Jadi, anda boleh menonton dengan selesa dan tidak perlu meletakkan peranti ini terlalu hampir dengan mata.

Ditambah lagi dengan rekaan melengkung skrin di sisi setiap penjuru, ia turut memiliki sokongan suhu warna dan mod malam Circadian. Teknologi ini membolehkan anda melihat paparan yang terpancar di skrin telefon tanpa menyakitkan mata dan memeningkan kepala biarpun digunakan pada waktu malam atau di persekitaran yang gelap.
Beralih kepada fungsi kamera yang menjadi keperluan penting untuk pengembara, Honor 90 mempunyai resolusi lensa kamera utama setinggi 200MP. Ini merupakan salah satu ciri hebat yang ada pada model Honor kali ini. Jadi, anda boleh bayangkan hasil setiap foto atau video yang mampu dirakamkan oleh telefon pintar yang satu ini.

Kemudian, resolusi 12MP untuk lensa mod ultra lebar dan 2MP mod kedalaman manakala 50MP pula bagi mod swafoto. Di samping itu, Honor 90 ini dikuasakan dengan cipset Snapdragon 7 Gen 1 dengan kandungan bateri berkuasa sehingga 5000mAh bersama aliran elektrik selaju 66W untuk pengecasan wayar.
Jadi prestasi kuasa bateri ini sudah cukup bagus dan speksifikasi untuk perisian yang digunakan berada di tahap pertengahan baik dan masih kukuh untuk anda menggunakannya sebagai telefon harian, sekaligus dibawa untuk bercuti ke mana-mana.

Tersedia dengan tiga varian warna iaitu Diamond Silver, Emerald Green, dan yang menarik perhatian penulis Peacock Blue. Ini kerana di bahagian belakang badan telefon, warna ini timbul bersama corak seakan bulu burung merak apabila disuluh dengan cahaya.
Kesimpulannya, penulis boleh mengatakan bahawa Honor 90 sangat berbaloi untuk dimiliki dan harga yang ditawarkan juga tidak terlalu membebankan dan masih mampu milik. Lebih-lebih lagi, spesifikasi model ini berada di kategori telefon premium tahap pertengahan baik.
Artikel dan foto oleh Izwan Ramlan