Filem Adiwira terus merajai pawagam dengan makin banyak watak komik yang dibawa ke dunia nyata. Terbaharu adalah watak The Flash dari dunia komik DC.
Dilakonkan oleh Ezra Miller, filem pertama The Flash ini tidak menghampakan berkat lakonan mantap para bintang utama serta kesan-kesan khas yang dipaparkan sepanjang alur cerita.
Kali ini, Barry Allen diberi peluang mencitrakan kehidupannya selain menjelaskan bagaimana dia berjaya menjadi seorang adiwira.
Lengkap dengan unsur komedi ihsan watak The Flash yang memang sinonim dengan humor dan lawak, kisah kali ini menunjukkan bagaimana Barry dibelenggu dengan aneka masalah kehidupan harian sebagai seorang pekerja baru di samping perlu menyelamatkan dunia setiap hari.
Dalam proses membantu masyarakat dengan kuasa hebatnya, Barry mencetus sebuah lagi kebolehan baharu, iaitu meneroka masa dan waktu . Ini membuatnya ingin mencuba kembali ke masa lalu demi menyelamatkan mendiang ibunya dari mati dan ayahnya daripada dipenjara.
Walaupun begitu, dia dinasihati oleh Batman supaya tidak mencuba aksi tersebut kerana ia mampu menjejas realiti masa kini.
Sungguhpun sudah diberi amaran, Barry tidak mempedulikannya dan tetap mencuba sehingga sedar bahawa dia bukan sahaja mampu kembali ke masa lampau tetapi juga mengembara ke dunia realiti yang lain.
Saat itu, Barry mendapat tahu bahawa terdapat banyak alam semesta dengan realiti yang berbeza dan dia terperangkap dalam salah satu realiti tersebut.
Biarpun terdapat persamaan dengan filem adiwira lain yang menampilkan tema serupa seperti Doctor Strange dan Spiderman, filem The Flash ini ada kehebatannya tersendiri.
Pastikan anda tunggu kemunculan Batman-Batman lain lakonan Micheal Keaton serta George Clooney yang turut hadir membuat kejutan di samping beberapa Superman dari masa lampau.
Tidak ketinggalan melengkapkan alur cerita adalah sepupu Superman iatu Supergirl yang sama-sama gagah membantu The Flash dalam misinya.
Saksikan The Flash di pawagam seluruh Malaysia bermula 15 Jun 2023.