Lembaga Pelancongan Sabah atau Sabah Tourism Board (STB) melancarkan slogan jenama destinasi terbaharunya ,‘Feel Sabah, North Borneo’ bersempena dengan Pameran Kembara MATTA yang diadakan dari 17 hingga 19 Mac lalu.

Acara yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew itu turut menyaksikan perlepasan 10 daripada 100 buah kereta e-hailling yang mempamerkan slogan terbaharu itu untuk hebahan kepada orang ramai selama tiga bulan di Lembah Klang.

Bercakap kepada pihak media, Christina menganggap langkah yang diambil oleh Sabah Tourism Board ini akan memberi dorongan besar kepada pertumbuhan pelancongan domestik. Ini kerana pasaran domestik masih merupakan segmen ekonomi penting bagi Sabah, biarpun pihaknya mengalu-alukan pelancong antarabangsa dari seluruh dunia.

Memetik statistik daripada Bahagian Penyelidikan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Liew berkata pengembara domestic menyumbang dua pertiga daripada jumlah ketibaan pelancongan di Sabah sebelum pandemic Covid-19.

“Bagi senario pra-pandemik, jumlah ketibaan tujuan pelancongan di Sabah ialah 4.19 juta pengunjung pada 2019. Pada tahun itu, pelancongan domestik menyumbang 2.72 juta ketibaan manakala angka untuk ketibaan antarabangsa berjumlah 1.47 juta pelawat.”

“Tahun lalu, 80 peratus daripada 1.72 juta ketibaan ke Sabah merupakan pelawat domestik. Tinjauan Profil Pelawat Domestik 2019, mendapati pelawat domestik lebih berminat dengan aktiviti membeli-belah berbanding pelawat antarabangsa,” ulas beliau.

Tambah Christina lagi, ‘Feel Sabah, North Borneo’ merupakan slogan yang cukup kuat untuk menarik minat orang untuk mengenali Sabah.

“Rakyat Malaysia di bahagian lain di negara ini akan menerima tema promosi baharu ini. Saya percaya mungkin ramai di kalangan generasi muda tidak begitu mengenali sejarah dan keindahan silam Sabah.”

“Jadi sementara mereka menikmati keindahan alam semulajadi, keramahan penduduk, warisan budaya serta kehidupan liar yang luar biasa, mereka juga akan dapat menghayati peninggalan dahulu kala seperti harta antik dari era utara borneo Zaman Borneo.

Lagipun, ini menekankan lokasi geografi Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia yang terletak di bahagian utara Pulau Borneo,” ujar Christina.

Apa hebatnya Sabah?

Terletak di kepulauan yang ketiga terbesar di dunia, Borneo, Sabah merupakan sebuah destinasi yang menjanjikan keindahan luar biasa dan unik, berbeza dengan yang ada di tempat lain. Setiap pengembara yang menjejakkan kaki ke sini akan menikmati sebuah perjalanan yang tidak mungkin dilupakan.

Selain keajaiban alam semulajadi, ada banyak lagi yang boleh dilihat seperti warisan budaya, sejarah dan juga makanan yang memikat selera. Gabungan unik pesona moden dan tradisonal memastikan setiap pengunjung ada sesuatu untuk dinikmati.

Pulau Bohey Dulang menjanjikan pemandangan memukau, saujana mata memandang

Sama ada bersantai di tepian pantai, bersiar-siar di kampung-kampung, pelayaran menyusuri sungai, penerokaan gunung, atau terjun ke laut yang airnya jernih bagaikan kristal, Sabah adalah permata di tengah-tengah Asia Tenggara, menunggu untuk diterokai dan dilawati semula.

Dengan segala kelebihan yang ada, termasuk hutan hujan tropika, pantai dan gunung, tidak hairanlah mengapa negeri kedua terbesar di Malaysia ini menjadi destinasi percutian yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jomlah ke Sabah! Sebelum itu, boleh tonton video kempen terbaharu STB di sini.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah