Kejayaan siri filem dari jenama komik tersohor dunia, DC tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak bertahun yang lalu siri filem terbitan adiwira mereka seperti Superman, Batman dan Justice League telah meraih jutaan Dollar berkat kehebatan filem-filem mereka.
Tidak lama dahulu, salah seorang watak adiwira mereka iaitu Captain Marvel dari filem Shazam juga muncul dengan filemnya sendiri.
Lama dinanti-nanti oleh peminat tegar DC, filem terbaharu dari dunia Shazam muncul dengan judul Black Adam.
Kisah kali ini membawa penonton mengenali Teth Adam seorang wira dari zaman purba yang mempunyai kuasa untuk melawan musuh. Namun beliau kembali dihidupkan di zaman moden dan keliru dengan peranannya sama ada dirinya musuh atau pelindung penduduk kotanya.
Bangkit di bumi moden dan keliru, tingkahnya melanggar peraturan di kesan Justice Society yang menganggap beliau musuh.
Diketuai Hawkman dan adiwira lain seperti Cyclone, Atom Smasher serta Doctor Fate mereka cuba menangkap Teth Adam.
Walau bagaimanapun, pertemuan mereka akhirnya mendedahkan bahawa selama ini Teth Adam bukanlah orang yang mereka sangkakan dan telah terpengaruh menjadi jahat.

Sungguhpun begitu, ada pihak iaitu seorang pakar kajipurba bernama Adrianna dan keluarganya yang yakin Teth Adam sebenarnya wira sejati yang baik.
Di situlah jalan cerita menjadi lebih menarik saat cuba merungkai misteri sebenar identiti Teth Adam.
Malah, ada penjahat lain juga yang mempunyai agenda tersembunyi di balik sejarah Teth Adam.

Oleh kerana semua watak terkenal dengan kuasa luar biasa, filem ini sarat dengan kesan khas yang hebat.
Namun ia membuat alur cerita filem ini lebih mendebarkan dan lebih sukar untuk diteka penghujungnya.
Berkat lakonan mantap para bintang yang menunjang watak-watak utama serta kesan visual yang sangat luarbiasa, kami yakin filem ini mampu memuaskan peminat DC.

Black Adam sudah mula ditayangkan di semua pawagam di seluruh Malaysia bermula 20 Oktober 2022.