Tak kenal, maka tak cinta. So, jangan cakap Perlis tak best kalau belum pernah menjejakkan kaki ke sini. Sebenarnya banyak tempat menarik yang ada di negeri paling Utara di Semenanjung Malaysia.
Ramai tak tahu sebabnya kurang publisiti. Tapi dengan adanya medium sosial media sekarang ini, banyak juga tempat-tempat menarik yang menjadi bualan ramai.
Contoh paling popular ialah, buah Mangga Harumanis. Mangga ini bukan sahaja menjadi rebutan ramai, malah ia juga mendapat sambutan baik di kalangan masyakarat antarabangsa.
Selain itu, keindahan alam semulajadi di Perlis juga unik kerana dipengaruhi cuacanya yang sedikit berbeza.
Jika ke sini pada musim mengambil padi, bolehlah mengabadikan foto-foto menarik berlatarkan jerami padi. Cantik! ala-ala di Texas, Amerika Syarikat. Eh! Yuna pun buat video muzik di Perlis tau!
So, jom intai apa yang ada di Perlis!
1) Bukit Chabang

Bukit Chabang bolehlah dikatakan sebagai ikon negeri Perlis. Bentuknya yang bercabang mencipta pemandangan indah terutamanya ketika matahari terbenam. Tidak susah untuk melihat bukit ini kerana ia boleh di dilihat sepanjang jalan Kangar–Kaki Bukit. Bagi yang gemar dengan sukan mendaki, anda boleh memanjat bukit yang berketinggian 390 meter dari paras laut ini. Tapi, perlu dapatkan permit daripada pihak berkuasa dan dapatkan guide terlatih terlebih dahulu. Ini kerana treknya agak curam dan mempunyai batu-batu tajam.
2) Ladang Bunga Matahari, Taman Ular dan Reptilia

Ha! Jangan tak tahu, Perlis pun ada ladang Bunga Matahari. Tahun ini tak perlu berburu ke Thailand untuk bergambar riang (memang tak boleh pun). Jom ke Perlis! Ladang Bunga Matahari ini terletak di kawasan Taman Ular dan Reptilia dan ia beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Tiket masuk untuk dewasa adalah RM 6.00 dan RM 3.00 untuk kanak-kanak. Sangat murah dan berbaloi-baloi. Hendak tahu masa terbaik untuk menyaksikan bunga matahari berkembang penuh, anda perlu ikuti akaun Instagram @tamanulardanreptilia .
3) Titian Kanopi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)


Titian Kanopi FRIM Mata Ayer ini terletak di kawasan Hutan Simpan Kekal Mata Ayer, Kaki Bukit, Perlis. Tujuan asal pembinaan titian ini adalah untuk dijadikan kawasan penyelidikan flora dan fauna terutama sekali tentang pokok jati. Namun keindahan alam semulajadi di sepanjang laluan ini menjadikannya ideal untuk eko pelancongan. Dengan ketinggian 17 meter, anda boleh menghayati keindahan pokok-pokok jati yang berusia lebih 40 tahun. Caj untuk melalui titian kanopi ini cuma RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Ia operasi bermula pada jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang dari Isnin hingga Jumaat.
4) Masjid Terapung Al-Hussain

Masjid Terapung Al-Hussain ini terletak berhampiran Jeti Kuala Perlis. Bermodalkan RM12 juta, masjid ikonik ini diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail. Sebahagian daripada binaannya mengadap ke laut Selat Melaka menjadikan ia lebih indah apabila tibanya waktu senja. Salah satu keunikan masjid ini ialah pada setiap kali masuk waktu solat, pancaran cahaya dengan warna tertentu seperti merah, biru, putih dan hijau akan dinyalakan sebagai petunjuk kepada nelayan-nelayan di laut bahawa telah masuk waktu solat.
5) Bukit Pelarit

Dengan ketinggian 553 meter dari paras laut, puncak Bukit Pelarit menjanjikan panorama alam yang cukup mempesona. Kehijauan alam yang terbentang luas membuatkan diri terasa tenang dan damai. Dek kerana itu, tidak hairanlah ia popular di kalangan mereka yang gemarkan aktiviti pendakian. Sebelum memulakan pendakian, anda diingatkan supaya mendapat permit terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Jangan sesekali melakukan pendakian tanpa pengetahuan pihak berwajib kerana pernah berlaku kemalangan jiwa di sini. Anda juga boleh mengikuti Facebook Kelab Mendaki & Kembara – Hikers Perlis untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang trip pendakian ke sini.
6) Nat Pokok Getah
Terletak di Pauh, Arau, Nat Pokok Getah mendapat namanya kerana ia terletak betul-betul di dalam kebun getah. Jika anda berada di Perlis pada Jumaat dan Ahad, jangan sesekali abaikan Nat Pokok Getah sebagai salah satu tarikan yang mesti dilawati. Percayalah, ianya lain daripada yang lain. Tidak mungkin anda akan menjumpai ‘nat’ atau pasar pagi sebegini di tempat lain. Ratusan peniaga menjual pelbagai jenis barangan, daripada barangan dapur basah sehinggalah ke pelbagai jenis makanan popular, pakaian, haiwan peliharaan, dan barangan antik. Pendek kata, semuanya ada di sini. Satu tip berguna, sila datang awal pagi kalau tak mahu bersusah-susah mencari parkir.
7) Hutan Lipur Bukit Ayer

Tarikan semula jadi di Hutan Lipur Bukit Ayer kehijauan hutannya dan air terjun yang mengalir ke dalam kolam buatan di bahagian hilirnya. Ini menjadikan lokasi ini sangat sesuai untuk mandi-manda dan berkelah bersama teman-teman mahupun keluarga. Terdapat beberapa kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh pengunjung seperti pusat penerangan, dewan serbaguna, tapak perkhemahan, surau, wakaf, meja dan bangku taman, tandas, taman permainan kanak-kanak, denai interpretasi, trek basikal lasak dan juga kemudahan tempat letak kenderaan yang luas.
8) Empangan Timah Tasoh

Salah satu tempat yang menjadi pilihan Yuna dalam klip video. Empangan Timah Tasoh merupakan sebuah empangan yang terletak 17 km ke utara bandar Kangar. Ia boleh dihubungi melalui Jalan Kangar ke Padang Besar dan Jalan Abi ke Padang Besar. Nama empangan Timah Tasoh diambil sempena nama dan tempat pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Pemandangan alam di sini cukup menarik, lebih-lebih lagi jika ke sini pada awal pagi atau pada lewat petang. Saujana mata memandang. Terasa cukup mendamaikan.
Jadi tunggu apa lagi? Jomlah ke Perlis Indera Kayangan.