Sempena pelancaran Pakej Durian Tourism 2023 di Tangkak, Johor, team Travellah sempat bersama pihak Tourism Malaysia Wilayah Selatan untuk explore lokasi menarik di daerah Tangkak.

Taman Negara Gunung Ledang

Taman Negara Gunung Ledang atau Mount Ophir pastinya mengamit kenangan penulis tika kecil, kerana ini adalah lokasi wajib untuk bermandi manda setiap kali cuti sekolah dan juga lagenda tentang si cantik Puteri Gunung Ledang yang telah membuat Sultan Mahmud Shah jatuh cinta pada beliau. Segalanya sudah dinaik taraf untuk kemudahan pengunjung bersesuaian dengan status Taman Negara termasuklah dua laluan masuk – satu untuk pendaki dan satu lagi untuk kawasan air terjun.

Asam Pedas Kak Fyda

Ini adalah salah satu lokasi “legit” untuk asam pedas. Bagi penulis selaku peminat setia asam pedas, hanya dua jenis ikan yang buat asam pedas itu sedap iaitu Ikan Jenahak dan Ikan Parang. Dikedai Kak Fyda ini, ikan jenahak dihidangkan untuk asam pedas mereka. Sedap dan menepati tekak orang Melaka. Wajib singgah untuk peminat asam pedas atau foodie secara amnya. Boleh “google” terus “Asam Pedas Kak Fyda” untuk lokasinya.

Kopi 434 atau Sai Kee Kopi 434

Antara jenama kopi buatan Malaysia tertua di Malaysia dan menjadi kebanggaan warga Muar dan Johor secara amnya. Kilang dan Kedai Kopi 434 terletak di dalam daerah yang sama. Selesai lawatan ke kilang bersama generasi ketiga pemilik Kopi 434, kami ke Kedai Kopi 434 yang terletak di bandar Muar berhadapan dengan stesen bas Muar. Terdapat pelbagai jenis minuman berasaskan kopi yang dihidangkan. Untuk mereka yang ingin membawa pulang, terdapat tiga jenis kopi tersedia iaitu Kopi O Kosong, Kopi O Elephant dan Elephant Bean Drip Coffee.

Sarapan Pagi ala Sultan Johor di R&H Cafe

Yup, kami sempat ke Restoren Sate Maharani R&H untuk menikmati juadah sarapan pagi wajib orang Johor iaitu Sate Johor dan juga lokasi wajib untuk Tuanku Sultan Johor menikmati sarapan pagi sekiranya ke Muar. Selain itu, menu wajib lain adalah lontong, mee rebus, tauhu lentok, soto dan banyak lagi. Penulis siap berebut Nasi Lemak bungkus lagi. Digalakkan datang awal pagi untuk elakkan patah hati tidak dapat menikmati semua menu wajib.

Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Sabok Awor merupakan lokasi wajib singgah untuk menikmati ikan bakar dan pelbagai jenis makanan laut yang lain. Yang pastinya semuanya segar belaka. Antara menu wajib adalah kupang masak pelbagai jenis. Lokasi ini sesuai untuk makanan beramai ramai setelah penat jelajah bandar Tangkak dan Muar.

Muar Art Gallery & Cafe

Untuk peminat seni, anda boleh berkunjung ke sini untuk mempelajari sedikit sebanyak ilmu seni dan penghasilan perabot. Terdapat 3 aras tersedia; tingkat atas sekali lebih kepada kelas belajar seni musik antaranya adalah kompang, tingkat dua dihidangkan dengan pelbagai perabot yang diperbuat dari rotan dan juga kayu kayan. Manakala aras bawah pula terdapat kafe dan galeri jualan perabot.

Muar Leather Craft

Jujur, penulis terkejut yang di daerah Tangkak terdapat barangan kraf yang berasakan kulit. Terdapat pelbagai pilihan barangan yang diperbuat dari pelbagai jenis kulit antaranya kulit lemu, kambing, ikan pari malah buaya. Harga juga berbeza bergantung kepada jenis kulit dan kualiti. Lagi “fine” atau lembut kulit, lagi mahal harganya. Pengunjung juga boleh memilih untuk “made to order” sekiranya inginkan lain dari yang lain.

Mi Siput Kak Chik

Terdapat ramai pengusaha mi siput disekitar daerah Tangkak dan Mi Siput Kak Chik adalah antara yang terbaik. Mi Siput Kak Chik adalah hasil dari usaha Md Shahir Meskon dan isteri. Selain Mi Siput yang dibuat asli sendiri, mereka juga menyediakan sambal atau sos untuk dimakan bersama mi siput mereka. Oh lupa nak beritahu, Mi Siput boleh dimakan terus atau dimasak untuk pelbagai jenis masakan seperti mee sup, mee goreng dan banyak lagi.

Otak-otak Ledang

Ini adalah antara makanan favourite penulis. Selalu dihidangkan dikedai-kedai tomyam dan warong. Kali ini penulis dapat melihat sendiri penyediaan otak-otak. Di Norlin Frozen Food, otak otak dibuat segar setiap hari dengan menggunakan resipi keluarga. Daun nipah juga digunakan untuk membalut otak-otak sebelum dibakar dan seterusnya dimakan. Menurut pemilik Norlin Frozen Food, mereka mampu menyediakan sehingga 18,000 keping otak-otak setiap hari.

Mee Bandung Muar

Lokasi wajib singgah untuk mee bandung Muar adalah di Mak Pon Mee Bandung Muar. Perniagaan keluarga ini sudah mencecah usia lebih 50 tahun dan pastinya resipi keluarga digunakan. Selain menjual rencah Mee Bandung Muar, pelanggan juga boleh melihat bagaimana rencah mee bandung Mak Pon dihasilkan. Penulis sempat membeli 2 jenis rencah Mee Bandung Mak Pon kedua-duanya menggunakan gred udang kering yang berbeza.

Taman Herba Nasuha

Menurut pemilik, restoren dan taman herba Nasuha ini merupakan taman herba yang terbesar di Malaysia. Terdapat pelbagai jenis herba yang ditanam disini dan seterusnya mereka menghasilkan pelbagai jenis makanan, ubat dari herba yang ditanam. Terdapat juga restoren didalam taman herba ini yang menyajikan makanan yang diolahkan dengan menggunakan pelbagai jenis herba. Malah lantai restoren mereka diperbuat dari batuan untuk refleksologi. Rombongan kami dihidangkan dengan Nasi Beriyani Herba untuk juadah tengahari.

Muar River Cruise

Jeti Muar River Cruise terletak di Dataran Tanjung Emas dan mengambil cruise ini mengambil masa selama 30 minit untuk menyusuri Sungai Muar. Pengunjung dihidangan dengan pelbagai bangunan bersejarah disepanjang Sungai Muar antaranya adalah Istana Hinggap Sultan Johor, masjid lama Muar dan pelbagai bangunan lain. Tiket berharga RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak kanak.

Tangkak Durian Hub

Okay ini adalah lokasi WAJIB untuk sekiranya berada di Tangkak sewaktu musim durian yang bermula dari bulan Mei hingga Ogos setiap tahun. Terdapat pelbagai jenis durian terdapat disini antaranya Golden Pheonix ( ini istimewa untuk daerah Tangkak ), Musang King , IOI dan banyak lagi. Dan sempena pelancaran Pakej Durian Tourism 2023, pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis durian yang tersedia dengan harga yang berbaloi. Bekerjasama dengan MARDI, seramai 13 pengendali pelancongan terlibat dengan menawarkan 18 pakej yang menarik bermula dari harga serendah RM50. Boleh lihat pakej di https://www.malaysia.travel/storage/files/pdf/pakej-durian-2023.pdf 

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah