Baru-baru ini pihak Travellah telah dijemput untuk menyertai lawatan media ke kota Pekanbaru di Riau, Sumatera. Perjalanan menaiki pesawat selama 50 minit ke Pekanbaru yang terletak di Sumatera tidak dirasai kerana jarak masa yang terlalu singkat. Saat penulis dan rakan media lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II, kami disambut meriah oleh wakil Pejabat Pelancongan Riau. Setiap dari kami dipakaikan tanjak yang merupakan tradisi orang Melayu di Riau.

Sebelum ke Pekanbaru, penulis melakukan sedikit kajian mengenai Pekanbaru. Pekanbaru ini antara bandar penting di Sumatera, tetapi apa yang menarik perhatian penulis adalah cerita lama mengenai Pekanbaru. Rata-rata masyarakat di sini berketurunan Melayu, malah tidak berlebih-lebih sekiranya penulis mengatakan trip penulis ke Pekanbaru seperti trip “Sirih Pulang ke Gagang”. Baik dari lenggok bahasa, pemakaian mahupun makanannya, semuanya hampir sama dengan kita di Malaysia. Maka tidak hairanlah jika tagline “Homeland of Melayu” sangat bersesuaian dengan mereka.

Hari pertama penulis di ibukota Riau ini banyak dihabiskan dengan melawat “Old Town of Pekanbaru” di Kampung Bandar. Antara yang menarik untuk dilawati di sini adalah Makan Sultan Siak yang terletak di kawasan Masjid Raya Pekanbaru, rumah singgah Raja Siak, Pasar Bawah serta Rumah Tenun Kampung Bandar.

Hari kedua bermula awal kerana penulis dan rakan media yang lain perlu ke Jeti Sungai Pakning untuk menaiki Ro-Ro selama 40 minit ke Pulau Bengkalis. Ro-ro ini seperti feri Pulau Pinang, cuma lebih besar dan boleh juga memuatkan bas didalamnya. Perjalanan mengambil masa hampir 4 jam dari Pekanbaru ke Bengkalis.

Setibanya kami di Bengakalis, kami terus ke pusat tenunan songket Riau. Beza antara Songket Riau dan Songket Terengganu adalah pada coraknya, di mana mereka masih menggunakan corak tradisi seperti bunga manggis, awan larat manakala Songket Terennganu pula menggunakan corak bermotifkan bunga. Rambang mata juga penulis disini, bayangkan Songket tenun tangan berkualiti tinggi berharga sekitar RM150 sahaja dalam matawang kita.

Selain songket Riau yang menjadi tarikan di Pulau Bengkalis ini, penulis dibawa ke Kampung Zapin. Ya betul. Sememang wujud Kampung Zapin di sini. Malah baik anak muda dan orang tua, masing-masing masih terlibat secara aktif dalam seni tarian Zapin ini. Terpegun penulis dengan lenggok tarian dan muzik yang dimainkan, sama seperti tarian Zapin kita di Johor. Yang pasti budaya Melayu itu kuat di Kampung Zapin sehingga penulis mengalirkan air mata. Benarlah seperti kata Hang Tuah  “tidak Melayu hilang di dunia”.

Penulis kemudian bermalam di Bengkalis kerana keesokkan paginya penulis dan rakan media yang lain menaiki feri ke Selat Panjang. Untuk pengetahuan, Selat panjang terletak di dalam Kepulauan Meranti  yang terdiri dari tiga pulau iaitu Pulau Padang, Pulau Rangsang dan Pulau Tebing Tinggi. Dan di Selat Panjang ini sebenarnya tujuan penulis ke Riau untuk menghadiri Festival Perang Air.

Selat Panjang yang terletak di Pulau Tebing Tinggi merupakan kawasan yang berpenduduk majoriti berbangsa Tionghoa atau Cina. Festival Perang Air merupakan sambutan tahunan yang diadakan di Selat Panjang sempena perayaan “Imlek” atau Tahun Baru Cina. Berlangsung dari hari pertama perayaan Imlek sehingga hari ketujuh. Festival Perang Air ini seperti Songkran di Thailand tapi berskala kecil dan hanya disambut di sini.

Pastinya ini merupakan pengalaman baru buat penulis, menikmati festival perang air di Selat Panjang, Riau. Yang menariknya kami memang betul-betul berperang. Pihak pelancongan tempatan sudah pesan, jangan marah sekiranya disimbah dengan air kerana ini adalah motif festival ini. Habis basah lencun penulis dari mula perang sehingga habis. Baik yang muda atau tua, mereka menikmati festival perang air ini dengan penuh kegembiraan. Pihak pelancongan Riau sememang berharap festival perang air ini dapat menarik ramai pelancong untuk ke sini dimasa akan datang dan setanding dengan Festival Songkran di Thailand.

Bermalam di Selat Panjang, keesokan harinya penulis melawat Desa Bokor menaiki tongkang dari Selat Panjang. Yes, this part of Indonesia, water transportation is their main mode of transportation. Apa tidaknya sungai mereka sahaja boleh mencecah kedalaman 30 meter. Ada apa di Desa Bokor? Selain penduduk nya yang rata-rata Melayu, tarikan utama disini adalah Mangrove Trekking sepanjang 300 meter. Selain itu kampung di sini cantik dan tersusun elok seperti satu penempatan yang terancang. Difahamkan juga, setiap tahun bila tiba musim buah, ramai pelancong akan ke sini untuk menikmati buah-buahan tropikal terus dari dusun. Antaranya adalah  durian, rambutan, ciku, manggis dan macam-macam lagi.

Selepas dijamukan masakan tengah hari di Desa Bokor, kami bergerak pulang menaiki feri ke Pekanbaru. Perjalanan mengambil masa 5 jam dan seterusnya pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.

Terus terang, lawatan ke Riau bukan sekadar melawat tempat orang tapi bagi penulis ia lebih kepada mencari asal usul Melayu. Pastinya penulis rasa gembira dapat merasai pengalaman sebegini dan pastinya akan kembali ke Pekanbaru untuk mencari lebih banyak pengetahuan tentang sejarah Melayu itu sendiri.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *