Menu
Gaya & Culture

Pelakon Utama Gundala Abimana Aryasatya Suka Bercuti di Sepanyol!

Bakal menemui para penonton di Malaysia, filem yang sudahpun menjadi bualan di negeri jiran, Gundala dijangka akan mendapat tempat di kalangan peminat filem Malaysia yang gemarkan cerita bergenre ‘superhero’ atau adiwira.

Baru-baru ini para pelakon utama serta pengarah filemnya sempat bertemu dengan pihak media serta beberapa penonton bertuah di sesi promosi Gundala yang diadakan di ibukota.

Kami di Travellah juga tidak ketinggalan untuk menemubual para pelakon utama filem ini dan bertanya tentang destinasi percutian mereka.

Bintang pertama yang kami tanyakan sudah tentulah pemegang watak utama filem Gundala sendiri iaitu pelakon kacak Abimana Aryasatya. Abimana yang juga pernah mencuri perhatian ramai orang lewat filem ’99 Cahaya di Langit Eropa’ dan juga ‘Bulan Terbelah di Langit Amerika’ memberitahu bahawa dia memilih Sepanyol sebagai destinasi percutian yang paling disukai.

Menurutnya penduduk di Sepanyol sangat menyenangkan. Mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa dia sendiri berdarah kacukan Sepanyol di mana ayah kandungnya merupakan warganegara Sepanyol.

Selain itu dia turut memberitahu bahawa dia juga ingin sekali melawat Hungary serta Norway (sambil melihat isterinya sewaktu menjawab pertanyaan kami). Menurutnya lagi, dia ingin berkunjung ke dua negara tersebut kerana tertarik dengan gambar-gambar yang dilihat di laman Instagram.

Malah Abimana menyatakan bahawa dia menyukai tempat percutian yang lebih sepi dan tidak ramai orang supaya dia boleh duduk sambil meminum kopi serta melihat budaya sekeliling.

Kami mendoakan supaya Abimana akan dapat melawat negara-negara yang dia sebutkan tadi. Semoga kerjayanya juga terus berkembang maju!

Di sini kami sertakan juga rakaman temubual ringkas bersama Abimana Aryasatya sewaktu sidang media filem Gundala di Malaysia. Jangan lupa saksikan Gundala di kesemua pawagam seluruh Malaysia bermula 26 Disember ini!

Gambar Sepanyol : Stephan Valentin dan Jack Gisel (Unsplash)

Gambar Norway :Matthias Tillen dan Torbjorn Sandbakk (Unsplash)

Gambar Hungary : Yanny Mishchuk dan Tudor Stanica

No Comments

    Leave a Reply