Bukan sekadar tentang tanglung, kuih bulan dan pertemuan bersama keluarga, sambutan Mid-Autumn sebenarnya mempunyai kisah yang lebih dekat dengan kehidupan seharian. Ia tentang harapan, usaha, kesabaran dan rasa syukur selepas melalui satu perjalanan yang panjang.

Semangat inilah yang cuba diketengahkan Kwai Chai Hong menerusi pemasangan seni terbaharunya, Lunar Harvest (月满欢收), sempena sambutan Mid-Autumn Festival 2026.

Berkolaborasi dengan ZUS COFFEE, pemasangan seni ini mengajak pengunjung menyelami semula makna musim menuai dan menghargai perkara-perkara kecil yang sering dianggap biasa dalam kehidupan seharian.

Di sebalik setiap butir nasi yang sampai ke meja, tersimpan perjalanan panjang yang bermula daripada sebutir benih, tanah yang subur, cuaca yang baik dan tangan-tangan yang tekun mengusahakannya.

Nilai menghargai usaha ini turut mempunyai tempat tersendiri dalam budaya Malaysia. Pepatah Cina 粒粒皆辛苦” mengingatkan bahawa setiap butir nasi terhasil daripada kerja keras.

Manakala di kalangan masyarakat Melayu, anak-anak sering diingatkan dengan ayat – “kalau tak habis dimakan, nanti nasi menangis” sejak dahulu lagi. Ia bertujuan untuk mendidik supaya makanan tidak dibazirkan dan usaha di sebaliknya dihormati.

Membawa kisah tersebut ke dalam bentuk visual, lorong Kwai Chai Hong kini berubah menjadi sebuah ruang penuh warna, cahaya dan elemen berkaitan musim menuai.

Direka oleh DONCE Fine Floristry, pengunjung akan disambut dengan laluan bercahaya yang dihiasi tanglung berbentuk guni beras sebelum menuju ke Harvest Pavilion.

Pavilion utama pula mendapat inspirasi daripada kilang padi tradisional, lengkap dengan susunan tanglung, guni beras dan elemen tuaian, berlatar belakangkan gambaran sawah padi di bawah cahaya bulan.

Menariknya, Lunar Harvest turut mengangkat satu sisi sejarah dan budaya yang cukup dekat dengan Malaysia, bagaimana masyarakat tani bukan sahaja mengusahakan tanaman makanan ruji seperti padi, tetapi turut mempelbagaikan hasil dengan tanaman kontan termasuk kopi.

Daripada sinilah lahir satu lagi budaya yang cukup sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia iaitu kopitiam.

Kolaborasi bersama ZUS COFFEE pula membawa kisah yang sama kepada secawan kopi. Setiap biji kopi melalui perjalanan panjang, daripada tanaman yang dijaga oleh pengusaha, proses tuaian, pengasingan dan pemanggangan sebelum akhirnya dinikmati.

Lunar Harvest bukan sekadar sebuah pemasangan seni untuk bergambar, tetapi sebuah peringatan tentang nilai yang sebenarnya sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan, menghargai rezeki, menghormati usaha dan meraikan kebersamaan.

Bagi yang ingin merasai sendiri suasana Mid-Autumn yang berbeza tahun ini, Lunar Harvest (月满欢收) dibuka kepada umum dari 28 Ogos hingga 4 Oktober 2026, setiap hari dari 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Selepas menikmati pemasangan seni, jangan lupa luangkan masa meneroka kawasan Kwai Chai Hong yang turut menempatkan pelbagai pilihan makanan dan tarikan sekitar Chinatown Kuala Lumpur.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah