Dengan kesibukan tugas dan rutin yang seakan tidak pernah berhenti, hujung minggu sering menjadi masa terbaik untuk berehat seketika.

Buat yang tinggal di Lembah Klang atau sekitar Putrajaya, Travellah ingin mencadangkan sebuah hotel yang berbaloi untuk memenuhi hujung minggu anda. Jadi, tidak perlu   merancang perjalanan jauh atau menghabiskan masa berjam-jam di dalam kereta.

Moxy Putrajaya boleh menjadi antara pilihan untuk menikmati staycation yang santai, terutama jika apa yang dicari bukan sekadar bilik hotel tetapi pengalaman yang lebih lively dan berkarakter.

Penginapan selama tiga hari dua malam di sini  sudah cukup untuk memahami daya tarikannya. Bermula daripada reka bentuk yang penuh warna, sudut-sudut yang Instagrammable hinggalah kepada pilihan makanan yang tersedia sepanjang hari.

Moxy Putrajaya mempunyai cukup elemen untuk membuatkan hujung minggu terasa sedikit berbeza daripada kebiasaan.

Hotel ini hanya sekitar dua minit berjalan kaki dari District 21 Bandar IOI dan kurang satu kilometer dari IOI City Mall, menjadikannya pilihan praktikal untuk mereka yang mahu menggabungkan waktu bersantai dengan hiburan atau membeli-belah.

Apa yang paling menyerlah ialah identiti Moxy Putrajaya yang tidak terlalu formal. Warna-warna terang digunakan pada pelbagai sudut hotel, memberikan suasana yang ceria dan santai.

Ada banyak ruangan  yang sesuai untuk bergambar, tetapi lebih daripada itu, dekorasinya menjadikan hotel terasa seperti tempat yang memang menggalakkan tetamu untuk meluangkan masa di luar bilik.

Bilik pula hadir dengan konsep yang lebih ringkas dan efisien. Tidak terlalu besar, namun cukup selesa untuk pasangan atau dua tetamu. Setiap bilik lengkap dengan kemudahan seperti TV skrin rata, mini bar, cerek, peti keselamatan dan bilik mandi peribadi.

Bagi mereka yang tidak mahu terlalu kerap keluar mencari makan, Moxy Putrajaya mempunyai satu kelebihan yang agak menarik — THREE.6.5, restoran full-service yang beroperasi untuk sarapan pagi hinggalah makan malam.

Ketika kami bermalam di sini pada Julai lalu, malam pertama kami berkesempatan mencuba buffet ‘Much and Mingle’ yang menyediakan pelbagai pilihan menarik untuk dinikmati. Antara yang paling popular ialah bahagian grill seafood yang menampilkan sotong, ketam, udang, udang karang serta pelbagai jenis ikan yang dimasak panas-panas.

Sarapan pagi pula menawarkan pilihan buffet ala Amerika dan Asia. Namun, pengalaman yang mencuri perhatian ialah demonstrasi teh tarik yang dilakukan dari meja ke meja sebelum minuman dihidangkan. Ringkas tetapi cukup menarik, terutama buat pelancong luar negara yang mungkin pertama kali menyaksikan cara teh tarik disediakan.

Dengan kolam renang luaran, pusat kecergasan, lounge dan pelbagai ruang santai, Moxy Putrajaya menawarkan alasan yang cukup untuk memperlahankan langkah pada hujung minggu.

Berehat sepuasnya di hotel, menjamu selera dengan hidangan menyelerakan, dan paling penting tidak perlu pergi terlalu jauh untuk bercuti!

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah