Setiap kali merancang percutian, saya suka membahagikan perjalanan kepada dua fasa. Fasa pertama biasanya dihabiskan untuk meneroka destinasi, manakala kedua adalah masa untuk berehat dan memanjakan diri sebelum pulang. Inilah yang saya lakukan ketika berada di Cebu.

Selepas beberapa hari menginap di Fairfield by Marriott Cebu Mandaue City sambil menjelajah sekitar Cebu City, saya berpindah ke Sheraton Cebu Mactan Resort untuk menghabiskan baki tiga hari sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Selepas beberapa hari ke sana-sini, saya impikan sebuah penginapan dengan suasana yang lebih tenang dan premium. Saya mahu bangun dengan pemandangan laut di depan mata, menikmati angin pantai tanpa perlu melihat jam dan mengakhiri percutian dengan rentak yang lebih perlahan. Sheraton Cebu Mactan Resort menawarkan semua yang saya perlukan untuk itu.

Terletak kira-kira 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu, resort ini berada di pesisir pantai Mactan Island yang terkenal dengan lautnya yang jernih dan pantai berpasir putih.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke lobi, suasananya terus terasa berbeza. Hembusan bayu menyapa saat kaki melangkah masuk ke lobi, manakala panorama laut yang terbentang luas membuatkan saya tahu tiga hari terakhir di Cebu akan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

Saya menginap di bilik yang mempunyai balkoni. Dilengkapi dengan katil bersaiz king, bilik ini cukup luas dengan rekaan moden dan elegan. Namun, tarikan utamanya sudah tentu balkoni yang menghadap Laut Visayan.

Setiap kali langsir diselak, mata terus disajikan dengan pemandangan laut membiru sejauh yang mampu dilihat. Pada waktu pagi saya duduk menikmati secawan kopi sambil duduk di kerusi malas yang tersedia. Enak sungguh rasanya dapat bermalasan untuk beberapa hari.

Selain katil yang selesa dan ruang bilik yang luas, saya juga suka dengan tab mandian. Ketika melangkah masuk ke bilik dan ternampak tab ini, hati saya telah berbunga-bunga. Dah terbayang betapa nikmatnya dapat berendam selepas seharian melakukan aktiviti luar.

Hari kedua menjadi kemuncak percutian saya di Mactan Island apabila menyertai aktiviti island hopping ke Nasuluan Island dan Hilutungan Marine Sanctuary, dua lokasi yang cukup popular dalam kalangan pencinta snorkeling.

Operator jemput di hotel pada jam 9.00 pagi dan jam kami memulakan perjalanan dari jeti kira-kira jam 10.00 pagi. Air laut yang jernih berkilauan di bawah cahaya matahari membuatkan saya semakin tidak sabar untuk turun ke dalam air.

Sebaik tiba di lokasi snorkeling, saya terus masuk ke dalam air untuk mengintai dunia di bawah permukaan laut. Melihat ikan-ikan tropika berenang bebas di celah terumbu karang yang berwarna-warni memberi pengalaman yang cukup manis untuk dibawa pulang.

@travellahmy

Kalau datang Cebu tapi tak buat island hopping ni, memang rugi! Hanya 45 minit hingga 1 jam naik bot dari Mactan Island, korang dah boleh sampai ke Hilutungan Marine Sanctuary dan Nalusuan Island—antara lokasi snorkeling paling popular di Cebu. Di Hilutungan Marine Sanctuary, korang akan disambut dengan air laut yang jernih, ikan-ikan berwarna-warni dan terumbu karang yang masih cantik. Memang syok snorkeling kat sini! Lepas tu singgah pula di Nalusuan Island. Air laut dia biru kehijauan, suasana pulau pun tenang. Nak mandi laut, ambil gambar cantik atau sekadar chill pun memang best. Kalau korang pertama kali datang ke Cebu, aktiviti ni memang wajib masuk dalam itinerary. Tak perlu pergi jauh, tapi tetap dapat rasa keindahan pulau-pulau di Cebu. Tips sikit—jangan lupa bawa reef-safe sunscreen, waterproof phone pouch dan underwater camera supaya setiap momen bawah laut boleh dirakam. Untuk pengalaman yang lebih best dengan harga yang berpatutan, korang boleh ambil pakej daripada Blue Wave Island Adventures. Memang highly recommended! 💙 #cebu #philippines #islandhopping #beachvibes #travelling

♬ suara asli – eggha_bali19 – eggha_bali19

Hampir separuh hari saya habiskan di lautan. Walaupun badan mula terasa letih akibat berpanas di bawah matahari, pengalaman itu sangat berbaloi. Snorkeling di Mactan Island bukan sekadar melihat ikan dan terumbu karang, tetapi memberi peluang menghargai keindahan alam semula jadi yang menjadi antara tarikan utama pulau ini.

Sebaik kembali ke Sheraton Cebu Mactan Resort, saya terus menuju ke bilik. Inilah saat yang saya nantikan sejak pagi. Saya mengisi tab mandian dengan air suam sebelum berendam sambil melihat gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang percutian itu.

Perlahan-lahan segala lenguh di bahu dan kaki hilang, digantikan dengan rasa lega selepas seharian berada di tengah laut. Pengalaman kecil seperti inilah yang menjadikan sesebuah percutian terasa lebih bermakna.

Makan malam di DIP

Menjelang malam, saya memilih untuk menikmati makan malam di DIP, restoran yang terletak di aras bawah Tower D resort. Restoran ini merupakan antara yang terawal memperkenalkan hidangan Nikkei di Mactan Island, gabungan unik antara masakan Jepun dan Peru. Malah, ia turut menerima pengiktirafan Michelin Selected.

Setiap hidangan dipersembahkan dengan cukup teliti, tetapi apa yang lebih menarik perhatian ialah keseimbangan rasanya. Kesegaran bahan-bahan Jepun dipadankan dengan teknik dan sentuhan Peru, menghasilkan pengalaman gastronomi yang berbeza daripada restoran Jepun yang biasa saya kunjungi.

Jika menginap di Sheraton Cebu Mactan Resort, saya memang mengesyorkan supaya anda meluangkan sekurang-kurangnya satu malam untuk menikmati makan malam di sini. Tidak berstatus halal, namun boleh maklumkan anda seorang muslim dan tidak mengambil arak, babi dan ‘lard’.

Selain DIP, resort ini turut menawarkan beberapa pilihan tempat makan lain, termasuk Buhi Cave Bar yang menyajikan hidangan Mediterranean dalam suasana santai menghadap laut. Ini memberi lebih banyak pilihan kepada tetamu yang ingin menikmati sajian tanpa perlu keluar dari kawasan resort.

Walaupun jadual saya dipenuhi aktiviti sepanjang berada di Mactan Island, saya tetap meluangkan masa berjalan di sekitar pantai persendirian resort. Bunyi ombak yang memecah pantai dan tiupan angin laut menjadi peneman terbaik untuk menikmati waktu petang.

Saya juga sempat menyaksikan langit bertukar jingga ketika matahari mula terbenam. Walaupun pemandangan matahari terbenamnya tidak begitu jelas dari resort ini, cahaya senja yang menyimbah permukaan laut sudah cukup mencipta suasana yang sukar dilupakan.

Resort untuk semua, ada spa, ada gim dan kelab kanak-kanak

Sheraton Cebu Mactan Resort turut menawarkan pelbagai kemudahan lain seperti kolam renang menghadap laut, Sheraton Spa dengan enam bilik rawatan, pusat kecergasan serta kelab kanak-kanak.

Sama ada bercuti bersama keluarga, pasangan mahupun secara solo, resort ini menyediakan ruang yang cukup selesa untuk setiap jenis pengembara.

Menghabiskan baki percutian di Sheraton Cebu Mactan Resort ternyata adalah keputusan terbaik. Selepas beberapa hari menikmati kesibukan bandar Cebu, saya dapat memperlahankan rentak kehidupan di Mactan Island sebelum pulang ke Malaysia.

Gabungan aktiviti island hopping, pemandangan laut yang indah, sajian yang mengagumkan dan penginapan yang selesa menjadikan tiga hari dua malam ini terasa lengkap.

Apabila pesawat berlepas meninggalkan Cebu, saya sedar bahawa saya perlu kembali lagi suatu hari nanti.

@travellahmy

Biarlah gambar berbicara. Our staycation at Sheraton Cebu Mactan Resort adalah pengalaman terbaik untuk tahun ini. #sheratoncebu #philippines #staycation #beachholiday #travel @Marriott Bonvoy @Marriott Hotels

♬ original sound – dinasarwono – dinasarwono

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah