HONOR terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan masyarakat tempatan menerusi pelancaran HONOR of Malaysia Awards Project, satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) jangka panjang yang bertujuan mengiktiraf rakyat Malaysia luar biasa yang menyumbang secara signifikan kepada komuniti masing-masing.

Inisiatif ini mencerminkan aspirasi HONOR untuk melangkaui peranan sebagai jenama teknologi semata-mata, sebaliknya tampil sebagai rakan pembangunan masyarakat.

Melalui platform ini, individu yang sering berbakti tanpa mengharapkan pengiktirafan, wira tidak didendang yang berkhidmat dalam bidang pendidikan, kebajikan, keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti, akan diberikan penghargaan sewajarnya.

Pelancaran rasmi projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching bersama Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li pada majlis HONOR of Malaysia 5th Anniversary Gala yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Li, inisiatif ini selaras dengan visi jangka panjang syarikat untuk bertapak lebih kukuh di Malaysia dan menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan sosial negara.

Sebagai fasa pertama program ini, tiga individu telah dipilih sebagai penerima sulung anugerah ‘HONOR of Malaysia’ atas dedikasi dan impak positif mereka kepada masyarakat.

Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh mantan Duta Besar Malaysia ke China, Abdul Majid Ahmad Khan. Pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan sumbangan mereka, malah diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk terus berbakti kepada komuniti.

Dalam usaha memperluas impak sosial melalui kreativiti dan teknologi, HONOR turut mengumumkan pelancaran Jelajah Fotografi Kebangsaan bersempena sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Program ini bertujuan mengetengahkan keindahan landskap Malaysia, kekayaan warisan budaya serta kisah kehidupan harian rakyat menerusi fotografi mudah alih.

Jelajah ini akan melibatkan penyertaan jurugambar amatur dan profesional, termasuk pelajar serta komuniti kreatif tempatan. Peserta akan berpeluang menyertai bengkel, sesi perkongsian dan aktiviti setempat di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Karya terbaik yang dihasilkan sepanjang program ini akan dipilih untuk dipamerkan di peringkat antarabangsa sempena Pameran Global HONOR 2026, sekali gus mempromosikan Malaysia di mata dunia melalui lensa kreatif rakyatnya sendiri.

HONOR of Malaysia 5th Anniversary Gala meraikan perjalanan lima tahun HONOR di Malaysia.

Dalam tempoh tersebut, HONOR berjaya muncul sebagai jenama telefon pintar dan tablet No. 1 berdasarkan jualan kepada pengguna pada suku keempat 2025, satu pencapaian yang mencerminkan kepercayaan serta sokongan kukuh pengguna tempatan.

Majlis gala berkenaan menghimpunkan pengguna setia, rakan kongsi, komuniti kreatif dan wakil industri dalam satu acara penghargaan yang penuh bermakna.

 Selain pengiktirafan kepada penerima ‘HONOR of Malaysia’, lapan kategori anugerah turut disampaikan bagi menghargai penyumbang utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan produk, pengujian teknologi serta pertumbuhan ekosistem HONOR di Malaysia.

Melalui pelaksanaan HONOR of Malaysia Awards dan Jelajah Fotografi Kebangsaan, HONOR menegaskan komitmennya untuk membina hubungan yang lebih mendalam dengan masyarakat, sambil memanfaatkan teknologi sebagai pemangkin perubahan positif.

Inisiatif ini membuktikan bahawa kejayaan komersial dan tanggungjawab sosial boleh bergerak seiring dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan bermakna untuk semua.

Share:
,
You may also like
Latest Posts from Travellah