Penginapan saya di Oakwood Premier Melbourne bukan sekadar persinggahan sementara, sebaliknya satu pengalaman bandar yang benar-benar mencerminkan gaya hidup moden dan sofistikated Melbourne.
Terletak strategik di kawasan Southbank, hotel ini menawarkan gabungan sempurna antara lokasi, keselesaan dan reka bentuk kontemporari, dengan latar Sungai Yarra serta skyline bandar yang ikonik.
Sejak melangkah masuk ke lobi, suasana eksklusif Oakwood Premier Melbourne sudah terasa. Reka bentuk dalaman yang moden dan kemas, digabungkan dengan layanan kakitangan yang profesional dan mesra, menjadikan proses daftar masuk berjalan lancar dan menyenangkan.
Saya menginap di Studio Executive Apartment, yang terletak di tingkat 33 dan sejujurnya, pemandangan dari bilik ini merupakan antara tarikan paling mengagumkan sepanjang penginapan.
Sebaik sahaja melangkah masuk, mata terus tertumpu pada panorama bandar Melbourne yang terbentang luas melalui tingkap besar dari lantai ke siling. Setiap pagi dan malam disambut dengan pemandangan berbeza, sama ada Melbourne yang sibuk atau Port Phillip Bay yang menenangkan.


Studio Executive Apartment ini direka dengan susun atur pelan terbuka yang menggabungkan ruang tamu kompak, dapur dan ruang tidur dalam satu ruang yang harmoni.
Reka bentuknya ringkas namun bergaya, memaksimumkan ruang tanpa mengorbankan keselesaan. Walaupun ia adalah studio, namun terasa lapang dan sangat praktikal, sesuai untuk pengembara solo atau pasangan yang menghargai privasi serta fungsi.


Dapur yang lengkap membolehkan penyediaan hidangan ringkas, manakala kemudahan seperti mesin basuh menjadikan bilik ini sesuai juga untuk penginapan jangka panjang.
Keselesaan katil tak usah dipersoalkan. Tilam dan bantalnya yang empuk menjanjikan tidur lena, memastikan waktu rehat benar-benar berkualiti selepas seharian meneroka bandar.
Dari segi fasiliti, Oakwood Premier Melbourne menyediakan pusat kecergasan moden serta ruang umum yang selesa untuk berehat atau bekerja.
Lokasinya pula sangat strategik, hanya dengan berjalan kaki anda sudah boleh ke pusat konvensyen, galeri seni, serta pelbagai restoran dan kafe terkenal di Melbourne. Segalanya terasa mudah dan dekat, menjadikan pengalaman meneroka bandar lebih menyeronokkan.
Untuk yang gemar membeli belah, DFO South Wharf hanya bersebelahan dengan hotel. Tinggal lintas jalan, dah sampai.
Secara keseluruhan, Oakwood Premier Melbourne, menawarkan pengalaman menginap yang seimbang antara kemewahan, keselesaan dan pemandangan luar biasa.
Ia bukan sekadar hotel, tetapi sebuah penginapan bandar premium yang membolehkan tetamu menikmati Melbourne dari perspektif yang eksklusif dan tenang. Satu pengalaman yang meninggalkan kenangan indah.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut, anda boleh layari laman web rasmi hotel ini di sini.

