Japan National Tourism Organization Kuala Lumpur Office (JNTO KL) menyatakan bahawa jumlah ketibaan pelancong di Jepun pada 2024 telah melebihi 36 juta orang dalam setahun, dengan catatan 36,869,900 jumlah ketibaan pelancong pada 2024, merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan.
JNTO berkongsi bahawa ketibaan pelancong Malaysia telah meningkat sebanyak 21.9% berbanding tahun sebelumnya, dengan laporan rasmi daripada JNTO menunjukkan bahawa 506,800 rakyat Malaysia melawat Jepun pada 2024 berbanding 415,712 orang pada 2023.
Pada bulan Disember 2024 sahaja, peningkatan pelancong dari Malaysia mencapai 17.8%, dengan 71,600 jumlah pelancong melawat Jepun pada bulan Disember 2024 berbanding 60,806 orang pelancong pada bulan Disember 2023.


Faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah seperti peningkatan Ringgit Malaysia berbanding Yen Jepun dan tarikan unik Jepun kepada rakyat Malaysia.
Selanjutnya, Kota Osaka dan Wilayah Toyama tersenarai dalam senarai New York Times “52 Tempat yang Harus Dikunjungi di Tahun 2025”.
Destinasi ini diakui kerana budaya tempatan yang unik, kecemerlangan kulinari, dan suasana semula jadi yang menakjubkan, mengukuhkan lagi kedudukan Jepun sebagai destinasi yang mesti dikunjungi.
Osaka yang juga menjadi penganjur Ekspo 2025 di Kansai dari 13 April hingga 13 Oktober 2025 di Pulau Yumeshima, bertemakan “Designing Future Society For Our Lives”, dijangka menerima 28.2 juta pengunjung.
Bagi menampung jumlah pengunjung yang semakin meningkat di Jepun dan minat yang tinggi terhadap Jepun, penerbangan charter (chartered flight) dari Malaysia ke wilayah Tohoku telah diperkenalkan sejak 2022. Perkhidmatan masa terhad ini telah meningkatkan keterlihatan wilayah ini dengan ketara dalam kalangan pelancong Malaysia, mempamerkan kekayaan sejarah Tohoku, keindahan bermusim dan layanan mesra.
JNTO menggalakkan pengembara untuk menerokai pelbagai tawaran Osaka, Toyama dan Tohoku, kerana setiap destinasi menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan menggabungkan tradisi dan kemodenan.

Pengarah Eksekutif di JNTO KL, Mr Kenichiro Ozaki manyatakan, “Kami sangat teruja untuk menyaksikan minat yang berterusan dan semakin meningkat di kalangan pelancong Malaysia ke Jepun. Peningkatan agak besar bilangan pelawat ini bukan sahaja menggariskan hubungan dua hala yang kukuh antara Jepun dan Malaysia tetapi juga menyerlahkan pilihan pelancong Malaysia yang mencari pengalaman budaya asli tempatan, tarikan pelancongan yang pelbagai dan perjalanan yang sukar dilupakan. Kami tetap komited untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pengunjung Malaysia untuk meneroka dan menikmati semua yang ditawarkan oleh Jepun.”
Laporan statistik ketibaan penuh juga tersedia untuk dimuat turun di laman web JNTO.