Pabila syarikat penerbangan AirAsia memperkenalkan laluan ke Labuan Bajo, Flores Indonesia, hati ini telah terpanggil untuk melihat sendiri keindahan destinasi popular ini.  Mempunyai satu misi iaitu lari daripada rutin harian yang melelahkan serta mahu sembunyikan diri seketika.

Ketika merancang ‘perlarian’ inilah saya terjumpa dengan sebuah resort yang menjanjikan pengalaman yang diidamkan, The Seraya, Komodo, Indonesia.  Perkara pertama yang menarik minat bukanlah pada bilik atau penginapan yang tersedia tetapi kepada peluang ‘digital detox’.

Benar, saya sangat memerlukannya. Saya tidak perlukan skrin televisyen, saya tidak perlukan talian telefon, jauh sekali WiFi untuk kekal di dalam talian (online). Saya hanya perlukan sebuah lokasi yang aman, damai, sepi dan indah. Perfect untuk terapi diri!

Ternyata pilihan saya untuk ke The Seraya adalah tepat! Saya dapat semua yang diimpikan. Terletak di pantai utara pulau Seraya Kecil, sembilan kilometer di utara Labuan Bajo, The Seraya hanya boleh diakses dengan pengangkutan air.

Ini bermakna, tetamu yang mahu ‘menghilangkan diri’ ke sini perlu mengambil bot dari Jeti Kampung Ujung, Labuan Bajo. Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit (bot biasa) dan harga yang perlu dibayar di antara Rp1.5 juta ke Rp1.8 juta.

Namun, berita baiknya ialah, The Seraya menawarkan bot ulang-alik secara percuma kepada setiap tetamu. Dengan syarat, anda perlu ikut jadual yang telah ditetapkan. Untuk urusan daftar masuk, terdapat bot pada jam 11 pagi dan 2 petang dari Labuan Bajo dan untuk urusan daftar keluar, bot dijadualkan pada 10 pagi dan 1 tengahari.

Saya tidak sempat mengikut bot yang disediakan, jadi untuk daftar masuk saya ambil khidmat daripada penduduk tempatan dengan harga Rp1.5 juta dan untuk daftar keluar semestinya dengan bot yang disediakan oleh The Seraya.

Sepanjang tiga hari dua malam di The Seraya, saya melalui sebuah percutian yang cukup indah. The Seraya punya pesona tersendiri. Penulis perhatikan, layanan yang diberikan kepada tetamu adalah terbaik.

Menginap di salah banglo yang terletak di lereng bukit, saya benar-benar suka dengan konsep dan susun atur bilik yang mesra alam dan luas. Sesuai dengan status eco-resortnya. Penggunaan buluh untuk binaan bilik air dan perkakas bilik menyuntik mood percutian yang diperlukan.

Banglo kami yang terletak di lereng bukit cukup selesa dan luas!
Terdapat juga banglo menghadap laut yang boleh dijadikan pilihan.

Paling penting, saya berpuas hati dengan tilam dan bantal yang disediakan. Tidur malam menjadi lena. Maklumlah selepas seharian ‘bercanda’ dengan alam, saya memang perlukan tidur yang lena. Seawal jam 9.00 malam saya telah mengakhiri hari dengan minda yang lepas bebas.

Tiada keingian untuk mengintai media sosial, tidak terfikir tentang televisyen. Saya hanya mahu melelapkan mata. Nyanyian cengkerik di luar bilik pada setiap malam, seakan-akan mendodoikan supaya mata mudah terlena.

Fikiran saya juga tidak menerawang jauh, mudah sahaja tertidur. Ini kerana saya langsung tidak memikirkan bebanan kerja, malah tidak berhubung dengan sesiapa. Bermalasan di bilik, melarikan diri ke pantai, dan mengintai matahari terbenam adalah agenda utama di sini. Syukur dengan kesempatan yang ada. 

The Seraya menjanjikan pemandangan matahari terbenam dan juga mahatari terbit jika cuaca mengizinkan.
Boleh juga bermalasan di kolam renang, berenang atau sekadar menikmati keindahan alam yang terbentang di depan mata.
Saya bangun awal untuk melihat pemandangan pagi yang mengasyikkan dari puncak Seraya Kecil.

Aktiviti air tanpa batasan

Selain dapat mengintai matahari terbit dan lembayung senja, satu perkara yang membuatkan saya jatuh cinta dengan resort ini ialah, akses kepada aktiviti air yang tidak terhad. Lebih tepat lagi, PERCUMA.

Tidak perlu bayar sesen pun jika mahu snorkeling di sekitar resort, berkayak, atau stand-up paddle board (SUP). Hanya perlu daftarkan nama dan nombor bilik di kaunter aktiviti air dan ‘mainlah’ sepuas-puasnya.

Snorkeling berhampiran jeti The Seraya menjanjikan pemandangan terumbu karang yang berwarna-warni dan juga ikan-ikan yang berwarna-warni. Ini kerana pengurusan resort mengambil inisiatif menanam dan memelihara hidupan marin yang ada di kawasan mereka.

Jika bernasib baik, tetamu dapat melihat spesies yang lebih besar seperti penyu, pari, jerung terumbu, malah ada juga yang sangat bertuah telah melihat dugong. Kunjungan saya tempoh hari hanya bertembung dengan penyu dan ikan pari. Itu pun sudah gembira bukan kepalang.

Selain itu, saya juga sempat berkayak ke pulau Hatamin yang terletak berdekatan. Saya dan teman mengambil masa kira-kira setengah jam mendayung ke sana biarpun petugas hotel memaklumkan ia hanya mengambil masa 20 minit.

Pulau Hatamin tidak berpenghuni dan cantik.
Boleh mandi-manda dan snorkeling di sini tanpa sebarang gangguan.

Dengan angin yang bertiup kuat, kami agak struggle di pertengahan jalan. Namun, usaha kami ini berbaloi kerana pulau kecil Hatamin ini tidak berpenghuni dan kami berdua mandi-manda sepuas-puasnya sambil snorkeling di tepian pantai.

Jika anda punya stamina, boleh ambil kesempatan ke pulau Anita  (lebih jauh) yang juga tidak berpenghuni dengan peluang snorkeling dan menyelam yang menakjubkan. Boleh juga mengelilingi Seraya Kecil.

Sebelum daftar keluar pada hari terakhir, saya dan teman mencuri masa dengan melakukan SUP selepas bersarapan. Saya memang suka aktiviti ini selepas pertama kali mencubanya di Langkawi beberapa tahun dahulu. Setiap kali berada di tengah lautan, saya berada damai dan tenang. Perasaan yang sering dirindui apabila sudah lama terkurung di hutan batu.

Jika anda merupakan salah seorang yang mendambakan percutian mengasyikkan, The Seraya, Komodo Indonesia adalah untuk anda. Percayalah, ia adalah lokasi percutian yang sempurna untuk meredakan tekanan dan menghilangkan diri.

Pagi yang mendamaikan

Resort ini menjanjikan keselesaan dan perkhidmatan eksklusif untuk setiap tetamu. Pengalaman menyeronokkan bermula sebaik sahaja kaki melangkah di jeti resort. Petugas hotel akan menyambut kedatangan anda dengan senyuman mesra.

Sebaik tiba di ruangan daftar masuk, lantas segelas jus bunga raya disua untuk menghilangkan dahaga. Selesai urusan daftar masuk yang kurang dari 10 minit, petugas resort akan mengiringi anda ke bilik.

Bermula dari detik itu, nikmatilah percutian anda dengan sepuas-puasnya! Untuk maklumat lanjut, anda boleh lawati laman sesawang The Seraya di https://www.theseraya.com/.

Ketika ini resort yang diterajui oleh Pengurus Besar, Barry J Yaxley ini sedang mengadakan promosi pakej Black Friday pada harga yang cukup berbaloi. Semak di sini untuk maklumat lanjut.

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah