Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines (SIA), hari ini mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan terus ke Vienna, Austria dan Bandar Iloilo, Filipina, menyediakan pengembara akses kepada lebih banyak destinasi pada harga yang berpatutan.
Penerbangan tiga kali seminggu ke Vienna bakal bermula pada 3 Jun 2025 dioperasikan oleh Boeing 787-8 Dreamliner, yang mempunyai kapasiti untuk 329 penumpang di dalam dua kelas kabin.
Manakala, penerbangan ke Bandar Iloilo pula bakal bermula pada 14 April 2025 dioperasikan oleh pesawat Embraer E190-E2 yang berkapasiti 112 tempat duduk dengan jumlah penerbangan dua kali seminggu dan bakal meningkat kepada empat kali seminggu bermula Jun 2025.
Vienna yang digelar sebagai Bandar Muzik terkenal sebagai tempat kelahiran legenda muzik klasik seperti Mozart dan Strauss, menjadikannya ia sebuah destinasi impian buat peminat budaya. Bandar ini memukau pengembara dengan daya tarikan seni bina yang megah, warisan budaya yang kaya dan keunikan artistik yang abadi.
Lokasinya yang strategik menjadikannya pintu masuk yang sesuai untuk menerokai Eropah Timur dan titik permulaan yang baik untuk pengembaraan berbilang bandar Eropah menerusi perjalanan jalan raya yang indah.

Bratislava, ibu negara Slovakia terletak hanya 50 kilometer dari Lapangan Terbang Vienna, manakala Budapest, Hungary dan bandar-bandar utama di Czechia, Croatia dan Slovenia semuanya berada dalam jarak tiga jam pemanduan kereta.
Terletak di tengah-tengah kepulauan Filipina, Bandar Iloilo merupakan sebuah bandar meriah yang terkenal dengan gereja era Sepanyol yang indah serta merupakan hos kepada salah satu festival keagamaan terbesar di Filipina, iaitu Festival Dinagyang.
Bandar yang sibuk ini menawarkan gabungan sempurna budaya dan pengalaman unik yang menunggu untuk ditemui, menjadikannya sebuah destinasi menarik untuk dikunjungi bagi percutian tempoh singkat.
Encik Leslie Thng, Ketua Pegawai Eksekutif Scoot berkata, “Kami kekal komited dalam mengembangkan rangkaian kami dan menghubungkan pengembara ke destinasi baharu di seluruh dunia pada harga berpatutan. Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus antara Singapura ke Vienna, kami teruja untuk melancarkan perkhidmatan baharu ini dari bulan Jun, tepat pada waktu percutian.
Dengan pelancaran penerbangan terus ke Bandar Iloilo, kami juga berharap untuk menginspirasikan pelanggan kami untuk menerokai lebih banyak bandar di Asia Tenggara dan memulakan pengalaman pelancongan baharu.”
Penerbangan ke Vienna dan Bandar Iloilo akan tersedia untuk tempahan bermula hari ini melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan seterusnya melalui saluran lain.
Tiket sehala bagi Kelas Ekonomi bermula dari MYR849 ke Vienna dan MYR319 ke Bandar Iloilo, manakala harga tiket sehala bagi ScootPlus bermula dari MYR2,299 ke Vienna, semuanya termasuk cukai.
Selain tambahan destinasi baharu ini, Scoot juga bakal melaraskan rangkaiannya bagi padanan lebih baik antara kapasiti, tuntutan keperluan serta mengoptimumkan penggunaan pesawat.
Ini termasuk penamatan penerbangan ke Berlin dan Jinan selepas penerbangan akhir mereka pada 28 Feburari dan 28 Mac akan datang.
Bagi pengguna terjejas yang telah melakukan tempahan menerusi Scoot, pihak Scoot akan menghubungi pengguna secara berperingkat dan menawarkan bantuan bagi tempahan atau bayaran balik, mengikut kesesuaian.
Bagi tempahan yang dilakukan menerusi ejen pelancongan atau rakan syarikat penerbangan, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan tersebut bagi bantuan yang sewajarnya.
Jadual penerbangan adalah tertakluk kepada kelulusan atau pertukaran oleh kerajaan dan badan berkanun. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan, sila rujuk jadual berikut :
Jadual penerbangan tersenarai adalah mengikut zon masa tempatan.
Vienna – Bermula 3 Jun 2025 | ||||
Nombor Pesawat | Laluan Penerbangan | Masa Perlepasan | MasaKetibaan | Kekerapan Penerbangan |
TR708 | Singapura– Vienna | jam 0300 | jam 1010 | Selasa, Khamis, Sabtu |
TR709 | Vienna – Singapura | jam 1125 | jam 0450+1 |
Bandar Iloilo – Bermula 14 April 2025 | ||||
Nombor Pesawat | Laluan Penerbangan | Masa Perlepasan | MasaKetibaan | Kekerapan Penerbangan |
TR374 | Singapura– Bandar Iloilo | jam 0200 | jam 0535 | Isnin, Rabu, Jumaat*, Ahad* |
TR375 | Bandar Iloilo – Singapura | jam 0610 | jam 0945 | snin, Rabu, Jumaat*, Ahad* |
*Bermula Jun 2025