Lebih empat dekad beliau meminjamkan vokal uniknya kepada industri seni hiburan tanah air. Dan terlalu banyak lagu-lagunya yang menjadi siulan ramai sejak kemunculan pertamanya sebagai seorang artis rakaman di awal tahun 90-an.
Kini selepas 22 tahun tidak mengadakan konsert berskala besar, ratu pop negara Ziana Zain mengambil peluang untuk menghiburkan peminatnya pada Sabtu lalu, tanggal 25 Mei 2024 di Ziana Zain Konsert 2024, bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

“Saya sangat bersyukur kerana di usia 56 tahun, Tuhan masih memberikan saya tenaga untuk melaksanakan tugas ini. Sesungguhnya ia bukanlah sesuatu yang mudah namun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujar Ziana di sidang media selepas konsert selesai.
Ingin melepaskan rasa rindu bertemu peminat setianya, Ziana benar-benar memberikan segala usaha dan tenaganya pada malam itu biarpun suaranya tidak berada di tahap maksimum.
“Suara saya serak sedikit malam ini. Apatah lagi semalam saya jalani raptai penuh bersama pemuzik,” jelasnya kepada penonton di sela-sela persembahan malam itu.
Biarpun sedemikian, Ziana memenuhi permintaan para penonton. Kemantapan vokalnya masih tidak dapat dinafikan dan setiap karya dilantunkan dengan cukup baik.
Seperti yang diumumkan beberapa hari sebelum konsert tersebut, penyanyi yang juga ibu kepada empat orang anak itu berjaya mendendangkan sekitar 20 buah lagu di panggung tersebut.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan pada malam itu sudah tentulah karya-karyanya yang paling popular seperti Satu Detik, Sangkar Cinta, Fatalistik, Anggapan Mu, Kekal, Bersama Akhirnya, Kemelut Di Muara Kasih, Dingin, Madah Berhelah dan banyak lagi.

Ziana juga sempat mengadakan sesi permintaan lagu di hujung-hujung konsert dengan memberi peluang kepada peminat untuk meminta lagu yang ingin mereka dengari dinyanyikan secara langsung dalam versi acapella. Sewaktu sesi tersebut tiga lagu sempat dilantunkan termasuk lagu Syurga Di Hati Kita yang disampaikan dengan begitu baik sekali.
Terkenal juga sebagai seorang yang petah berbicara, maka tidak hairanlah jika pada malam itu Ziana juga banyak berceloteh dan bergurau senda bersama para peminatnya. Sungguhpun banyak waktu dihabiskan untuk berborak dengan peminat, namun jelas kelihatan para penonton sama sekali tidak kesal atau bosan kerana benar-benar ingin mendengar luahan hati penyanyi kesayangan mereka itu.
Malam itu juga Ziana banyak berkongsi tentang kisah hidup dan keluarganya sepanjang acara. Malah beliau juga sempat berbicara dengan ayahnya secara langsung yang berhubung melalui panggilan video di telefon bimbit milik adiknya, penyanyi tersohor Anuar Zain yang juga bertindak sebagai penganjur konsert.
Diiringi oleh kumpulan muzik yang hebat, arahan muzik pada malam tersebut dipimpin oleh komposer dan penerbit muzik terulung, Aubrey Suwito manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah konsert.

Dengan suntikan muzik yang mengasyikkan, seluruh arena dipenuhi gema nyanyian para peminat Ziana Zain yang tidak putus-putus menyanyi bersama setiap kali lagu dipersembahkan.
Masih lincah beraksi di atas pentas biarpun sudah menjangkau usia 56 tahun, Ziana juga masih terkenal dengan imejnya yang bijak berfesyen serta bergaya. Pada malam tersebut, Ziana tampil anggun menawan dengan tiga persalinan berbeza yang dimulakan dengan busana dari Rizman Ruzaini, kemudian persalinan rekaan Faizul dari Rizalman dan terakhir sebuah rekaan istimewa oleh Ezuwan Ismail.
Di antara persembahan Ziana pada malam itu, ada juga beberapa tayangan video tentang pencapaian beliau dan juga beberapa sedutan filem-filem popular yang pernah dibintangi Ziana Zain.
Video lirik lagu tema CSA Academy yang juga penaja utama konsert turut ditayangkan pada malam tersebut.
Beberapa selebriti tanah air juga hadir pada malam itu untuk memberi sokongan buat Ziana Zain. Antara yang kelihatan termasuklah Erra Fazira, Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel, Misha Omar, Rozita Che Wan, Liza Hanim dan ramai lagi.

Apa pun yang pasti, sekitar 5000 orang penonton terpukau dengan kehebatan suara vokalis kegemaran mereka pada malam itu.
Penyanyi bersuara nyaring itu juga sempat memberikan kejutan di hujung konsert dalam bentuk pengumuman istimewa kala memberitahu bahawa beliau juga akan mengadakan konsert di Singapura pada 28 September 2024 di The Star Performing Arts Centre.
Malam penuh meriah itu diakhiri dengan lagu Madah Berhelah yang pernah menjulang nama beliau di dalam dunia seni suara tempatan, tiga dekad yang lampau.
Semoga bintang dan aura Ziana Zain akan terus bersinar menerangi dunia seni serantau.

