Jika tahun-tahun sebelumnya acara beramah mesra dan majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini akan diadakan di pusat membeli-belah atau hotel terkemuka, kali ini jenama fesyen tempatan terkenal ini mengubah tradisi dan membuat kelainan dengan membawakan suasana santai penuh ukhwah untuk dua acara ini ke Rumah Raya Rizman Ruzaini yang berlokasi di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.

Rumah Raya Rizman Ruzaini ini adalah satu platform yang dibawakan khas untuk pelanggan Rizman Ruzaini membeli koleksi Raya mereka secara langsung. Dan, untuk memeriahkan lagi pembukaan rumah ini sepanjang Ramadan, satu acara ramah mesra dan majlis berbuka puasa telah diadakan di Rumah Tangsi pada Sabtu petang.

Acara ini dibuka kepada semua pelanggan yang datang membeli-belah di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur. Mereka berpeluang bersuai-kenal bersama pemilik jenama Rizman Ruzaini iaitu Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil di samping beramah-mesra dengan pencetus ilham koleksi Raya RR 2024, Rozita Che Wan dan Idris Khan. Turut mengadakan persembahan istimewa ialah Liza Hanim dan kumpulan De Fam.

Menurut Pemilik Bersama dan Pengarah Urusan Rizman Ruzaini, Rizman Nordin, acara ini sudah menjadi tradisi mereka setiap kali menjelangnya Ramadan dan akan diteruskan selagi koleksi Raya mereka dilancarkan di pasaran.

“Cuma bezanya kali ini kami mengadakan dua majlis ini dalam suasana lebih relaks dalam sebuah rumah agam yakni Rumah Tangsi yang indah untuk RR Royalties nikmati pengalaman membeli-belah eksklusif dan bersilaturahim dengan kami seperti dalam sebuah rumah keluarga.”

Dalam majlis berbuka puasa itu juga, pihak Rizman Ruzaini turut berinfak untuk 100 pek makanan yang diedarkan kepada semua tetamu yang datang ke Rumah Tangsi. Ini adalah salah satu sumbangan kecil mereka dalam merai dan menghargai pelanggan mereka di samping mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang mulia.

Eksklusif sepanjang 30 hari Rumah Raya Rizman Ruzaini berlangsung, mereka menawarkan promosi istimewa kepada pemegang kad Malayan Banking Berhad (Maybank) yang membeli koleksi mereka di sana.

Untuk pemegang kad kredit Maybank yang berbelanja RM500 dan ke atas layak menerima diskaun sebanyak 20% manakala untuk pemegang kad debit Maybank dengan pembelian RM300 dan ke atas berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10%.

Koleksi Raya RR 2024 ini telah dilancarkan sepenuhnya pada 1 Mac 2024 dan boleh juga dibeli melalui atas talian di www.rrbyrizmanruzaini.com.

Share:
, , , , , , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah