Dunia komik Marvel terus mengisi ruang hiburan pawagam dunia dengan aneka filem berpaksikan watak-watak adiwira mereka.
Selain Avengers, X-Men dan macam-macam lagi, Guardians of The Galaxy merupakan sebuah lagi kumpulan adiwira yang berjaya mencuri perhatian pencinta genre adiwira dan sains fiksyen.
![](https://www.travellah.my/wp-content/uploads/2023/05/gotg3-1-1024x429.jpg)
Setelah tampil dengan dua filem terawal, kumpulan pelindung alam semesta kesayangan ramai ini kembali dengan bahagian ketiga mereka lewat Marvel Studios’ Guardians Of The Galaxy Vol.3
Kumpulan adiwira ini sememangnya sinonim dengan watak setiap ahli yang lucu dan menarik.
Dalam edisi kali ini, filem tertumpu kepada watak Rocket yang sejak diperkenalkan pada mula dahulu kerap berahsia tentang asal-usulnya.
Cerita bermula dengan Rocket yang tiba-tiba diserang oleh seorang makhluk asing bernama Adam Warlock sehingga cedera parah.
![](https://www.travellah.my/wp-content/uploads/2023/05/gotg3-1024x683.jpg)
Demi menyelamatkan nyawa Rocket, kawan-kawan sepasukannya terpaksa mencari satu peranti khas yang mengandungi kod istimewa untuk menghindari Rocket daripada mati.
Untuk mendapatkan peranti dan kod tersebut, mereka terpaksa membuat kajian demi mengetahui asal-usul Rocket dan di mana mereka dapat memperolehi objek tersebut.
Tiada yang benar-benar tahu dari mana datangnya Rocket dan bagaimana dia berjaya menjadi seorang pencuri yang hebat serta lincah.
Jadi kali ini, penonton bakal mengetahui bagaimana Rocket tercipta dan mengapa dia berperilakuan sedemikian.
Malah, di awal kemunculan siri filem ini, penonton pastinya sudah terbiasa dan mengenali konsep penulisan layar Guardians of The Galaxy yang skripnya kerap sarat dengan sindiran serta satira lucu selain adegan-adegan mendebarkan.
![](https://www.travellah.my/wp-content/uploads/2023/05/gotg3-2-1024x429.jpg)
Tidak pernah lekang dari aksi-aksi hebat dan kesan visual yang menakjubkan, dialog-dialog lucu yang dipaparkan turut membantu membuat Marvel Studios’ Guardians Of The Galaxy Vol.3 menjadi kumpulan adiwira kegemaran ramai.
Setiap sindiran yang dilemparkan sepanjang alur cerita pasti ada ‘terkena’ pihak tertentu biarpun dipersembahkan dalam bentuk lawak atau komedi.
Dan seperti filem-filem Guardians of The Galaxy sebelum ini, Marvel Studios’ Guardians Of The Galaxy Vol.3 mempertaruhkan runut bunyi yang luar biasa!
Saat lagu ‘Creep’ versi akustik oleh kumpulan Radiohead membuka tirai filem, penonton pasti sudah boleh menjangka keajaiban yang bakal disajikan sepanjang filem.
Jadi buat pencinta dunia adiwira Marvel serta rakan-rakan penjaga alam semesta ini pastikan anda menonton Marvel Studios’ Guardians Of The Galaxy Vol.3 yang sudahpun mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 4 Mei 2023.