Sempat mencipta kumpulan peminatnya yang tersendiri, watak adiwira Shazam dari dunia komik DC kembali dengan sebuah lagi filem sambungan berjudul ‘Shazam! Fury of the Gods’.

Kali ini Billy Batson dan adik-beradik angkatnya yang lain, semua sudah mempunyai kuasa ajaib masing-masing dan sudah terbiasa dengan kehidupan rahsia mereka sebagai adiwira penyelamat dunia di bandar Philadelphia, Amerika Syarikat.

Premis filem bermula dengan kemunculan dua orang dewi yang merupakan puteri-puteri kepada dewa Atlas. Kedua-dua mereka Kalypso dan Hesfera ingin membalas dendam terhadap umat manusia kerana pernah mencuri kuasa ayah mereka dan para dewa lain yang disimpan di dalam tongkat sakti yang menjadi sumber kuasa sakti pendeta Shazam.

Untuk mendapatkan kuasa sempurna tongkat tersebut, mereka perlu mengambil kembali kuasa yang telah diberikan kepada setiap adik-beradik angkat Billy Batson.

Di sinilah segala aksi bermula dari penculikan pendeta Shazam sehinggalah pencerobohan dunia manusia.

Sesuai dengan konsep filem yang diambil dari dunia komik, ada kala filem ini kelihatan seperti sebuah filem yang layak buat kanak-kanak berkat garapan visualnya yang sarat dengan kesan khas serta babak-babak ‘ajaib’ yang menakjubkan.

Ini diserikan lagi bersama skrip yang meriah dengan dialog-dialog lucu, setara dengan watak Shazam yang sememangnya seorang yang kelakar seperti di dalam komik dan siri animasinya.

Pasti ramai yang akan membandingkannya dengan filem-filem adiwira lain yang kadang bernada lebih serius. Sungguh pun begitu, filem ini bukanlah sekadar sebuah karya komedi picisan tetapi ada unsur-unsur lain yang diperlukan untuk menjayakan alur ceritanya.

Ada pesanan kemanusiaan yang berjaya disampaikan berkat selingan unsur sedih, gembira dan juga babak-babak aksi yang berterusan.

Digahkan lagi dengan lakonan nama-nama terbesar dunia Hollywood seperti Helen Mirren, Lucy Liu, Zachary Levi dan ramai lagi, menjadikannya filem yang wajar ditonton bersama.

Lebih menarik, ia juga menampilkan kemunculan watak adiwira dunia komik DC yang lain untuk menyempurnakan kisahnya.

Jika anda memamng pencinta filem berkonsep adiwira, atau pengikut setia dunia komik DC dan mungkin mencari filem untuk berhibur bersama rakan-rakan dan keluarga, Shazam Fury of The Gods memang layak menjadi tontonan anda.

Shazam Fury of The Gods, Sudha mula ditayangkan di kesemua pawagam seluruh Malaysia bermula 16 Mac 2023.

Share:
You may also like
Latest Posts from Travellah