Bagi merebut pasaran pelancongan Muslim bagi tahun 2023, Biro Pelancongan Taiwan telah berbesar hati untuk melantik selebriti muslim Malaysia – Ayda Jebat sebagai Duta Salam Taiwan.
Sebuah video promosi ‘Salam Taiwan 2023’ akan dilancarkan terlebih dahulu, dengan harapan untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan mereka, berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh Ayda sendiri.
Ketika ini, hampir 300 restoran dan hotel di Taiwan telah memperoleh pensijilan halal. Menurut ‘CrescentRating – Global Muslim Travel Index (GMTI)’ bagi tahun 2022 oleh MasterCard, Taiwan berada di tempat ke-2 bagi kategori destinasi pelancongan mesra muslim terbaik di kalangan negara bukan Islam di dunia.
Berdasarkan fakta ini, Biro Pelancongan Taiwan telah melancarkan projek promosi baharu ‘Salam Taiwan 2023’, iaitu dengan meneruskan konsep berteraskan Taiwan sebagai negara mesra pelancong Muslim dari seluruh dunia, memperkenalkan logo promosi Salam Taiwan terbaharu, serta menambah sub – slogan ‘Destinasi Sensasi Mesra Muslim’, yang diharap dapat menyerlahkan keistimewaan Taiwan.
Salam Taiwan 2023 akan memberi tumpuan kepada empat tema utama –‘Vibrant’, Mesra Muslim, Romantik dan ‘Trending’, serta akan mempromosikan sumber pelancongan unik Taiwan kepada rakan Muslim secara lebih spesifik dan mendalam.
Menerusi kempen ini, sebuah video promosi berdasarkan konsep ‘Dengarkan Suara Taiwan’ telah diterbitkan, di mana Ayda secara peribadi telah melawat Ladang Qin Jing, gunung Hehuan, Alishan, taman tema, ladang riadah, puak orang asli serta banyak lagi tarikan istimewa lain.

Bunyi angin, air, kereta api, nyanyian orang asli, dan penyediaan makanan telah dirakam bagi mempersembahkan pelbagai daya tarikan apabila menikmati pengembaraan ke seluruh Taiwan.
Selain itu, suami Ayda, Nabil Mahir, turut membuat penampilan dalam video promosi tersebut, menyerlahkan detik-detik manis serta romantik.
Ketika sidang media yang diadakan baru-baru ini, Ayda meluahkan keterujaannya apabila terpilih sebagai duta Salam Taiwan. Jelas pelakon popular ini, selepas menikmati percutian ke negara kepulauan itu, hatinya mula tertawan.
“Saya sangat gembira kerana telah terpilih sebagai Duta Salam Taiwan. Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk melancong ke Taiwan, kerana Taiwan adalah sebuah negara yang terlalu asing bagi saya.”
“Tapi, kesudahannya, saya telah jatuh cinta sebaik sahaja menjelajah ke sebahagian besar Taiwan! Baik dari segi kemesraan warga Taiwan, keindahan, keseronokan membeli-belah hinggalah ke pelbagai pilihan makanan halal yang lazat dan mudah untuk dinikmati! Saya tidak sabar untuk berkongsi keistimewaan Taiwan yang cantik dan menyerlah ini kepada peminat!” ujar Ayda.

Pada majlis itu, Pengarah Biro Pelancongan Taiwan, Abe Chou turut berbesar hati menyampaikan sijil perlantikan kepada Ayda sebagai Duta Salam Taiwan di Malaysia, dengan disaksikan oleh wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Phoebe Yeh.
Phoebe Yeh juga menjelaskan bahawa pada masa ini, adalah amat mudah bagi pelancong Malaysia untuk melancong ke Taiwan kerana terdapat banyak syarikat penerbangan seperti China Airlines, EVA Airlines, dan STARLUX Airlines yang menawarkan penerbangan secara terus ke Taiwan.

Salam Taiwan menyasarkan peningkatan sehingga dua angka bagi peratusan pelancong Muslim dari Malaysia yang berkunjung ke Taiwan setiap tahun.