Mungkin salah satu filem yang paling dinanti-nantikan untuk tahun ini, ‘Avatar The Way of Water’ akhirnya menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia. Selepas filem pertama Avatar arahan James Cameron meraih aneka anugerah dan pujian, banyak yang diharapkan dari mahakarya terbaharu ini.

Selepas lebih sedekad tayangan gambar ini masih mempertaruhkan kesan visual luar biasa serta jalan cerita yang mudah dirasai penonton.

Kali ini Cameron masih bermain dengan unsur kesukaannya iaitu air dalam mencipta kisah yang baharu buat planet Pandora. Namun, berbeza dengan kapal Titanic yang akhirnya karam gara-gara kekuatan unsur lautan, Avatar The Way of Water pula mengagungkan samudera lepas dan segala isinya.

Seperti yang dijangka, bangsa Na’vi dari planet Pandora meneruskan kehidupan penuh makmur sungguhpun telah berhadapan dengan banyak kehilangan sewaktu perang dengan manusia dari Bumi sebelum ini. Kisah tentang apa yang pernah terjadi ini diceritakan dengan baik oleh suara latar watak utama Jake Sully.

Jake dan isterinya Neytiri kini mempunyai sebuah keluarga dengan empat orang anak berserta seorang anak manusia yang sering hidup bersama mereka.

Segalanya lancar sehinggalah angkatan kapal angkasa manusia yang baharu kembali ke Pandora dengan misi terkini, iaitu untuk menjadikan Pandora tempat tinggal baharu penduduk Bumi, gara-gara planet Bumi yang semakin uzur.

Kedatangan tak diundang ini mencetuskan konflik dengan adanya kelibat klon bekas ketua tentera Miles Quaritch dalam bentuk avatar yang baharu. Miles yang dahulu mati akibat panahan Neytiri kini ‘dihidupkan’ semula dalam badan yang baharu dan ingin membalas dendam terhadap keluarga Jake Sully.

Biarpun Quaritch sempat menculik anak-anak Jake namun Jake dan Neytiri berjaya menumpaskan dan menyelamatkan keluarga mereka.

Walau bagaimanapun demi keselamatan penduduk, mereka mengambil keputusan untuk berpindah jauh dari hutan belantara ke daerah lautan baharu yang dihuni bangsa lautan Metkayina.

Mereka mula beradaptasi dan tinggal bersama keluarga baharu mereka tapi sayangnya kedudukan mereka dikesan musuh dan bermulalah segala aksi dan drama yang dijangkakan.

Di bahagian filem yang ini jugalah para penonton disajikan dengan keindahan seni visual filem ini yang memaparkan kecantikan lautan rekaan pandora di layar lebar.

Filem ini digarap dengan begitu baik sehingga berjaya melahirkan setiap emosi manusia dalam bentuk ekstrem. Dari babak penuh kegembiraan sehinggalah yang maha sayu, semuanya digambarkan dengan bijak lewat tautan hebat James Cameron. Sememangnya beliau wajar digelar raja layar perak.

Namun seperti Titanic (karya agungnya dulu) filem ini memakan waktu selama tiga jam dan agak lama untuk sesetengah orang.

Sungguhpun begitu, kami yakin tiap saat terluang untuk menonton filem ini adalah berbaloi dan anda mungkin akan mahu menonton berulang kali semata-mata untuk mengabadikan keindahan visual dan jalan ceritanya yang asli.

Dengan barisan pelakon tersohor seperti Sam Worthington, Zoe Saldaña, dan Sigourney Weaver, ia juga menyaksikan pembabitan bintang Titanic Kate Winslet serta ramai lagi.

Avatar The Way of Water sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 15 Disember 2023.

Share:
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *