Asia Tenggara sememangnya terkenal dengan aneka destinasi pelancongan yang menarik. Jadi tidak hairanlah kenapa terdapat semakin banyak syarikat penerbangan tambang rendah di rantau ini. Malah, kesemua syarikat penerbangan ini berlumba-lumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
Salah satu daripadanya yang kian mula mendapat tempat di kalangan pengembara ASEAN adalah VietJet. Bagi yang kurang tahu, VietJet adalah sebuah syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Vietnam.
Selain memberi tumpuan kepada penerbangan tambang rendah serantau ia juga menempuhi perjalanan jarak jauh ke beberapa destinasi eksotik seperti India, Korea, Jepun dan paling menarik, ia satu-satunya penerbangan tambang rendah yang mempunyai penerbangan ke Kazakhstan.
Mula berterbangan pada Disember 2011, ia menerajui penerbangan ke seluruh Vietnama pada harga yang sangat berpatutan dan kompetitif.
Pihak Travellah diberi peluang untuk mengalami sendiri perkhidmatan yang ditawarkan oleh VietJet baru-baru ini dengan merasai pengalaman menjadi penumpang ‘SkyBoss’ mereka.
Kami diberi kesempatan untuk terbang ke kota Ho Chi Minh dan juga bandar persisiran pantai Nha Trang.
VietJet menawarkan beberapa jenis tiket penerbangan yang bergantung pada harga tambang yang ditawarkan.
Harga tambang tiket terendah mereka berada dalam kategori Eco yang menawarkan perkara paling asas iaitu tempat duduk dan beg seberat 7kg yang boleh dibawa naik ke pesawat. Ini diikuti dengan tiket Deluxe yang membolehkan bagasi seberat 20kg didaftar masuk, selain pemilihan tempat duduk, penukaran waktu penerbangan mengikut ketersediaan serta barangan penjagaan kabin selain beg seberat 7kg yang boleh dibawa naik ke pesawat.
Namun tiket SkyBoss mereka merupakan tiket terulung yang menawarkan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan terbaik sepanjang proses penerbangan. Ia mirip dengan kelas perniagaan di kebanyakan syarikat penerbangan.
Di samping perkhidmatan yang mirip dengan penumpang tiket Deluxe, Penumpang SkyBoss diberi peluang mendaftar masuk di kaunter pendaftaran khas tanpa perlu beratur panjang. Bagasi pendaftaran juga mempunyai berat yang lebih banyak iaitu 30kg selain beg 10kg yang boleh dibawa naik untuk tiap penumpang.
Penumpang SkyBoss juga biasanya akan diberi keutamaan bagasi dan menerima bagasi terlebih dahulu sebelum penumpang lain semasa tiba di lapangan terbang destinasi.
Selepas mendaftar masuk, mereka boleh menghabiskan waktu di ruang tamu khas atau ‘lounge VIP’ lapangan terbang sementara menunggu pesawat.
Semestinya di ruang tamu ini pelbagai juadah disediakan untuk nikmat penumpang selain kemudahan bilik mandi dan ruang rehat yang lebih selesa.
Lebih istimewa, penumpang SkyBoss akan dihantar ke pesawat menaiki kenderaan peribadi khas tanpa perlu bersesak menaiki bas dengan penumpang lain menuju ke kapal terbang.
Saat tiba di pesawat pula, penumpang SkyBoss semestinya diberi keutamaan untuk duduk dahulu sambil dilayan oleh anak-anak kapal VietJet yang sangat mesra.
Penumpang SkyBoss juga akan diberikan minuman sambutan khas sebaik sahaja melabuhkan punggung di tempat duduk di bahagian paling depan pesawat. Dengan ruang tempat duduk yang lebih selesa, ia akan membuat perjalanan lebih menyenangkan tanpa gangguan.
Malah, penumpang SkyBoss juga boleh memesan apa sahaja makanan serta minuman yang mereka mahukan dalam pesawat tanpa had!
Pilihan makanan mereka juga beraneka dan buat penumpang yang beragama Islam ada pilihan makanan berunsur sayuran atau makanan laut.
Buat penerbangan dari dan ke Malaysia, tersedia juga menu makanan halal berupa nasi lemak!
Sewaktu pihak Travellah mencuba perkhidmatan ini, kami disajikan dengan menu lengkap berserta telur setengah masak. Lebih menakjubkan, VietJet satu-satunya pesawat tambang rendah rantau ini yang menyajikan air kelapa segar dalam buah kelapa yang sebenar. Ia memang menyegarkan dan lain daripada yang lain!
Pengalaman menaiki penerbangan VietJet memang selesa dan menyeronokkan.
Sambil menikmati hidangan yang lazat, para penumpang juga boleh membaca majalah VietJet yang banyak berkongsi info menarik tentang destinasi-destinasi pelancongan serta perkembangan gaya hidup yang lain.
Mereka juga menjual barangan bebas cukai di dalam katalog pesawat.
Kami benar-benar menikmati penerbangan bersama VietJet dan berpeluang menjelajah kota Ho Chi Minh dan Nha Trang dengan riang.
Sambungan penerbangan kami ke kota Nha Trang juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Jadi sekiranya anda tercari-cari penerbangan tambang rendah yang selesa dan penuh kemudahan untuk percutian seterusnya, cubalah VietJet, kami yakin anda akan menyukainya!
Travellah telah diterbangkan ke Vietnam dari Kuala Lumpur dengan tiket Skyboss oleh VietJet.
Terima Kasih VietJet di atas kerjasama yang telah diberikan. Layari VietJet untuk tawaran luar biasa hari ini!