GMBB pusat beli-belah komuniti kreatif Malaysia bersama dengan kurator Phillip Wong kembali lagi hari ini dengan edisi kedua pameran seni kontemporari Telur Pecah bagi meraikan kepelbagaian dalam seni yang menampilkan 128 karyawan dari pelbagai latar belakang. Pelancaran rasminya hari ini disempurnakan dan
dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Bermula pada tahun 2021 sebagai pameran untuk karyawan Malaysia berkongsi dan mempamerkan karya semasa tempoh pandemik, Telur Pecah kini kembali lagi – kini lebih besar dan lebih menarik! Kejayaan edisi pertamanya menjadi pemangkin bagi Telur Pecah 2.022 menjadi platform bukan sahaja untuk merapatkan jurang masyarakat umum Malaysia dengan seni, tetapi menyediakan peluang dan platform untuk menggabungkan karya-karya seni Malaysia. Berlangsung dari 12 Oktober hingga 13 November 2022, Telur Pecah 2.022 akan menampilkan lebih 300 karya seni daripada 128 karyawan bebas Malaysia yang amatur dan terkenal, disusun mengikut 10 kategori. Pameran seni ini dijayakan dengan sokongan pelbagai organisasi seperti Institut Seni Malaysia (MIA), Universiti Teknologi MARA, Aswara Malaysia, Universiti UCSI, Angkatan Pelukis SeMalaysia, Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA), WOW 1.0 dari Kota Kinabalu, HAUS dari Kuching serta penyewa tetap GMBB – GERIMIS dan OLFAC3 Perfumes yang akan mengharumkan sudut-sudut tertentu di pameran ini.
Pameran seni pada tahun 2022 ini dilihat lebih besar, menyaksikan GMBB menonjolkan lebih ramai barisan karyawan. Tahun ini, Telur Pecah 2.022 akan menampilkan kumpulan karyawan senior, beberapa artis media baharu yang menarik, serta pemasangan dan pameran solo yang menampilkan pelbagai jenis medium daripada asap kepada pemasangan semula jadi (akar dan pokok menjalar), seni AR dan banyak lagi. “Terdapat juga karyawan yang mengambil bahagian dari Sabah dan Sarawak serta kategori yang menampilkan artis Orang Asli. Visinya adalah untuk membawa semua orang bersama-sama melakukan #MoreTogether dengan komuniti seni kreatif yang lebih luas,” tambah Lim.
Telur Pecah 2.022 akan diadakan di Kesana-Kesini, ruang kongsi GMBB yang terletak di tingkat 3A dan dibuka kepada orang ramai dari 12 Oktober hingga 13 November 2022 dari 11 pagi hingga 8 malam. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan untuk membeli mana-mana karya seni yang dipamerkan.
**gambar oleh: SoyaCincau