Else, jenama hospitaliti yang prihatin, melancarkan hartanah sulungnya pada September ini di Kuala Lumpur. Ditempatkan di bangunan Wisma Lee Rubber yang berada di tengah-tengah ChinaTown Kuala Lumpur, Else mengekalkan legasi seni bina mercu tanda ikonik itu dan pada masa sama turut menerapkan reka bentuk kontemporari dan pendekatan baharu terhadap hospitaliti. Menyediakan ruang untuk membebaskan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan di kota, tetamu tempatan dan antarabangsa boleh memulakan penerokaan untuk membina pengalaman dan hubungan yang bermakna – melupakan segala urusan kerja dan menyambungnya semula mengikut kesesuaian masing-masing.

Hartanah 49 bilik, yang telah dibaik pulih dan diubah suai ini mempunyai keluasan 56,000 kaki persegi dan merangkumi ruang setinggi tujuh tingkat. Pengasas Else, Justin Chen dan Javier Perez telah melantik pereka bentuk, artis dan rakan kongsi terkemuka tempatan untuk merealisasikan visi mereka yang berteraskan hospitaliti sebenar. Firma reka bentuk Malaysia, Studio Bikin telah mengkonseptualisasikan reka bentuk dan menyelia proses pemuliharaan yang dilaksanakan oleh Faizah Architect, satu lagi rakan seni bina termasyhur di Malaysia.

Pengasas Bersama, Justin Chen ketika mengulas mengenai pembukaan hartanah tersebut berkata, “Else memakan masa selama empat tahun untuk direalisasikan di mana projek ini terpaksa menempuhi pelbagai cabaran akibat pandemik global dan ianya diinspirasikan oleh kemunculan pengembara era baharu. Hasilnya ialah sebuah syurga kota bagi mereka yang berfikiran global dan mempunyai semangat ingin tahu. Pasukan reka bentuk dan pembinaan kami telah mengambil pendekatan yang sensitif dalam mengimbangi kontras di antara elemen baharu dan lama dengan penelitian terhadap usaha memulihara keindahan bangunan era sebelum perang dan reka bentuk berinovasi yang dapat menarik para pelanggan kami untuk menerokai sendiri hartanah ini, dan menikmati ruang-ruang peribadi untuk beristirehat dan menenangkan fikiran.”