1 Utama Shopping Centre merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia. Menggunakan slogan ‘It’s All in One’, pusat beli-belah ini mempromosikan idea membeli-belah dan hiburan kepada setiap pengunjung di bawah satu bumbung.

Selain pengalaman beli-belah, 1 Utama Shopping Centre juga menawarkan pelbagai aktiviti sukan yang menarik untuk dinikmati seisi keluarga. Tidak perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, kerana anda boleh lakukan semuanya di sini! Teruskan membaca untuk ketahui aktiviti yang boleh dicuba bagi memenuhi debaran adrenalin anda!

1) FlowRider

Meluncur riang bukan hanya terhad di tepian pantai. FlowRider adalah tempat yang sesuai untuk anda asah kemahiran anda dalam sukan papan luncur air. Bagi sesiapa yang tiada kemahiran meluncur, usah risau kerana tenaga pengajar di FlowRider akan memberi tunjuk ajar yang diperlukan. Jangan gopoh, beri perhatian, pasti anda boleh lakukannya!

2) WINDLAB Indoor Skydiving

Bagi yang ingin rasai aktiviti ekstrem terjun udara atau ‘skydiving’,  bolehlah ke WINDLAB yang terletak di dalam 1 Utama Shopping Centre. Dahulunya tempat ini dikenali sebagai  AirRider Indoor Skydiving, ia menawarkan pengalaman terjun udara pada ketinggian 14,000 kaki kepada para pangunjung. Mereka juga akan dibekalkan dengan peralatan yang lengkap untuk keselamatan seperti sut, topi keledar dan cermin mata.

3) ROLLERWA

Pada yang tidak tahu, Rollerwa adalah sebuah gelanggang aktiviti berkasut roda yang berasal dari Korea. Rollerwa telah dibuka baru-baru ini pada 23 Disember 2021, menawarkan pengalaman yang menyeronokkan!

Di gelanggang ini juga dilengkapi dengan muzik dan lampu yang berwarna-warni untuk memberi keceriaan semasa bermain kasut roda. Para pengunjung boleh membawa kasut roda mereka sendiri, atau boleh menyewa kasut roda di sini. Jika anda minat akan aktiviti berkasut roda dan budaya K-Pop, pastikan anda tidak lepaskan peluang untuk ke Rollerwa!

4) Morac Go Kart

Morac Go Kart juga baru dibuka pada Disember lalu. Rasai debaran adrenalin dengan melakukan aktiviti go kart di sini. Morac Go Kart menawakan litar yang luas dan suasana yang seronok  untuk penonton dan pelumba. Trek sepanjang 420 meter ini akan memberi kepuasan kepada pelumba untuk berlumba dengan penuh kelajuan! 

5) Saranghae Bridge

Saranghae Bridge merupakan tempat yang sesuai untuk bersantai dan menikmati keindahan lampu LED yang cantik terutama pada waktu malam. Di sini juga para pengunjung boleh ‘kunci cinta’ mereka dengan menggunakan mangga dan kuncikan di pagar yang disediakan. Pada yang suka mengambil gambar dan inginkan suasana romantik, bolehlah singgah ke sini!

1 Utama Shopping Centre terletak di Petaling Jaya, hanya 20 minit perjalanan dari Kuala Lumpur. Banyak lagi aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini selain dari yang disenaraikan di atas. Anda pasti tidak sabar untuk mencuba semuanya, bukan? Jadi jangan tunggu lagi, ajaklah kawan-kawan dan keluarga anda #PusingSelangorDulu pada hujung minggu ini!

Walaubagaimanapun, para pengunjung diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu.

Share:
, , , , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *