Data baharu yang dikongsikan hari ini oleh Airbnb memberikan gambaran optimis bagi industri pelancongan kerana perjalanan mula pulih di Malaysia. Perkadaran tempahan domestik meningkat hampir 190% bulan ke bulan[1]. Dalam 30 hari yang lepas, 93% dari jumlah tempahan yang dibuat terdiri dari destinasi domestik[2].
Data ini selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri, yang telah menyaksikan perhatian bertukar ke arah pelancongan domestik sebagai pemacu utama bagi pemulihan dalam sektor ini. Walaupun industri pelancongan telah terganggu dengan ketara oleh COVID-19, data dalaman Airbnb menunjukkan tanda-tanda positif bahawa perjalanan mula bangkit semula, mengikut trend yang akan mencorakkan hala tuju perjalanan dalam beberapa minggu dan bulan yang akan datang.
Trend Utama: Dunia Perjalanan Baharu
Perjalanan domestik menunjukkan trend yang banyak menuju ke destinasi berhampiran, berbanding yang jauh, sejajar dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia dan usaha berterusan oleh kerajaan serta pemain industri untuk mempromosikan pelancongan di dalam negara.
Berdasarkan data tempahan terkini, destinasi domestik paling popular sepanjang 30 hari yang lalu di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, dan Kota Kinabalu. Tetamu juga memenuhi keinginan mereka untuk melancong dengan berkunjung ke destinasi bukan bandar[3], seperti Cameron Highlands, Kuala Terengganu, Port Dickson dan lebih lagi yang terdiri daripada hampir 64% tempahan[4].
Untuk memanfaatkan permintaan untuk perjalanan berdekatan, Airbnb akan mengemas kini aplikasi dan laman utama untuk membantu tetamu menemui semula keajaiban di tempat yang berdekatan dengan memudahkan tempahan untuk perjalanan tempatan, termasuk pada saat akhir. Halaman utama dan aplikasi ini akan menampilkan idea perjalanan tempatan dan menonjolkan percutian berhampiran.
Impak Ekonomi Tempatan Menyokong Pemulihan Pelancongan
Walaupun dunia sedang mengalami pengurangan perjalanan, Airbnb berpotensi untuk menjana berbilion dolar untuk ekonomi tempatan. Ini merupakan salah satu aspek unik di mana komuniti hos dan tetamu Airbnb dapat mengekalkan manfaat ekonomi tempatan. Pada tahun 2019, impak ekonomi langsung Airbnb di 30 pasaran teratas mencapai $117 bilion, iaitu peningkatan 17 peratus sepanjang tahun 2018.
Tahun lepas, komuniti hos dan tetamu Airbnb di Malaysia menyumbang RM3.7 bilion dalam impak ekonomi langsung[5]. Menurut 33% daripada hos Airbnb di Malaysia, pendapatan Airbnb mereka membantu mereka tinggal di rumah mereka[6]. Secara keseluruhan, tetamu membelanjakan hampir RM3.3 bilion di Malaysia. Selain daripada penginapan, restoran, membeli-belah, pengangkutan, barangan runcit dan hiburan merupakan lima kategori perbelanjaan yang teratas bagi tetamu Airbnb[7].
Memandangkan pelancongan telah bangkit semula, jelas bahawa Airbnb sekali lagi boleh menjadi penyumbang yang kuat kepada pemulihan sektor ini dan ekonomi.
“Kami sudah melihat tanda-tanda positif awal yang menunjukkan bahawa pelancongan domestik sudah bersedia untuk bangkit semula, didorong oleh penduduk tempatan yang menempah percutian yang lebih dekat rumah. Data terbaru ini menguatkan kepercayaan kami bahawa pelancong semakin mencari pengalaman tempatan yang tulen dan berpatutan,” kata Kum Hong Siew, Pengarah Rantau (Asia-Pasifik), Airbnb.
Beliau menambah, “Pelancongan adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan ia akan memainkan peranan penting dalam pemulihan keseluruhan. Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan, agensi pelancongan, komuniti dan pihak berkepentingan tempatan yang lain di Malaysia untuk membantu memulihkan perjalanan secara bertanggung jawab yang memberi manfaat ekonomi kepada warga tempatan dan perniagaan kecil, seterusnya membuka jalan menuju pemulihan pelancongan yang sangat diperlukan. “
Krisis COVID-19 akan terus mengubah cara kita menjalani kehidupan dan mengembara. Airbnb akan terus menggalakkan semua hos dan tetamu untuk bertanggung jawab dan mematuhi garis panduan daripada pegawai tempatan jika dan apabila mereka memilih untuk mengembara.

