Ada masanya, kita sanggup merancang perjalanan berbulan-bulan semata-mata untuk melihat tempat baharu di luar negara. Tiket ditempah awal, itinerari disusun rapi, malah lokasi untuk bergambar pun kita dah rancang betul-betul.

Tetapi apabila bercakap tentang Malaysia, berapa banyak sebenarnya yang sudah kita terokai?

Menyedari hakikat yang sebenarnya masih ramai yang belum betul-betul meneroka bumi Malaysia, Dr. Cardin tampil dengan kempen The Overlooked Malaysia.

Ia adalah sebuah pendekatan yang mengajak rakyat Malaysia melihat semula negara sendiri daripada perspektif berbeza.

Berbanding kempen fesyen yang lazimnya memberi tumpuan kepada koleksi dan produk, kempen kali ini membawa elemen pengembaraan sebagai sebahagian daripada penceritaan.

Ia hadir menerusi filem pendek, dokumentari road trip, pengembaraan bersama pencipta kandungan serta sesi siaran langsung dari beberapa lokasi di Malaysia.

Idea tersebut tercetus selepas adik kepada Ketua Penjenamaan Dr. Cardin, Chong Charl Yee, memilih untuk bercuti dalam negara kerana kekangan masa.

“Sebenarnya negara kita mempunyai banyak tempat menarik yang kita sendiri belum pernah lawati. Adik saya mahu bercuti tetapi dia tidak mempunyai waktu yang banyak. Kebiasaan dia bercuti di luar negara, tetapi kali ini dia memilih bercuti di dalam negara.

“Apabila dia pulang, dia mencadangkan agar kami melakukan kempen ini kerana dia jatuh cinta dengan keindahan di bumi Malaysia.

“Kami melihat idea ini sebagai sesuatu yang menarik dalam masa yang sama kami ingin memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia bahawa negara kita kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati,” katanya.

Daripada situ, perjalanan The Overlooked Malaysia membawa mereka merentasi empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

@dr.cardin

THE OVERLOOKED EVENT: BEYOND THE SCREEN 👀 Apa yang selama ni korang tengok dekatscreen, kali ni korang boleh experience sendiri, in real life!! And yes, ada product release yang akan happen exclusively during this event. 🗓️ 7.10 | Wed – 11.10 | Sun Nak tahu apa lagi? min akan bagitahu kejap lagi 😙

♬ original sound – Dr. Cardin – Dr. Cardin

Antara yang menarik perhatian ialah perjalanan ke Dabong, Kelantan menerusi The Explorer Trip, yang disertai sembilan pencipta kandungan termasuk pelakon Mierul Aiman.

Perjalanan dan aktiviti mereka sepanjang berada di Dabong kemudiannya dirakamkan dalam bentuk dokumentari.

Pilihan lokasi sebegini memperlihatkan satu sisi penting untuk perjalanan domestik. Tarikan Malaysia tidak semestinya terletak di destinasi yang paling popular atau sering muncul dalam senarai percutian.

Kadangkala, pengalaman yang lebih menarik datang apabila kita sanggup keluar sedikit daripada laluan biasa.

Menariknya, The Overlooked Malaysia tidak berhenti di platform digital. Kempen ini akan diteruskan menerusi acara The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen di IOI City Mall Putrajaya dari 7 hingga 11 Oktober 2026.

Acara lima hari itu akan membawa kempen berkenaan ke ruang fizikal, termasuk tayangan episod akhir filem pendek serta sesi bertemu pencipta kandungan yang terlibat dalam perjalanan tersebut.

Namun, di sebalik kempen dan kandungan digital yang dihasilkan, mesej yang lebih menarik sebenarnya cukup mudah, Malaysia masih mempunyai banyak cerita yang belum selesai diterokai.

Mungkin selama ini kita terlalu sibuk mencari destinasi baharu di luar negara sehingga terlupa bahawa perjalanan yang bermakna tidak semestinya memerlukan pasport.

Empat negeri yang diterokai menerusi kempen ini hanyalah sebahagian kecil daripada peta Malaysia. Masih ada kampung yang belum pernah disinggahi, laluan yang belum pernah dilalui dan landskap yang mungkin selama ini hanya dilihat menerusi skrin.

Dan mungkin itulah maksud sebenar The Overlooked Malaysia. Ia bukan sekadar mencari tempat yang belum pernah kita kunjungi, tetapi belajar untuk melihat semula negara sendiri dengan rasa ingin tahu yang baharu.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah