Permintaan pelancongan domestik ke Pantai Timur Malaysia menunjukkan peningkatan ketara pada suku pertama tahun 2026 apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih destinasi berasaskan budaya dan ekopelancongan untuk percutian mereka.
Data terbaharu daripada platform teknologi pelancongan dalam talian, Traveloka, menunjukkan tempahan perjalanan ke Pantai Timur meningkat lebih 40 peratus berbanding suku sebelumnya, sekali gus menjadikan rantau itu antara destinasi domestik paling pesat berkembang di negara ini.
Menurut kenyataan media tersebut, Kuala Terengganu muncul sebagai destinasi paling pantas berkembang di Malaysia dengan peningkatan tempahan sebanyak 60 peratus pada suku pertama 2026 berbanding suku keempat 2025.

Kota Bharu pula merekodkan peningkatan sebanyak 35 peratus dalam tempoh sama, sekali gus mengatasi beberapa destinasi popular lain seperti Langkawi dan Melaka.
Trend ini dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang memberi penekanan kepada warisan budaya dan keindahan alam semula jadi negara.
Peningkatan minat terhadap Pantai Timur berlaku ketika beberapa negara Asia mengalami sedikit kelembapan dalam sektor pelancongan. Namun begitu, carian dan tempahan perjalanan di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan pada Mac dan April lalu.
Keadaan ini memberi gambaran bahawa lebih ramai rakyat Malaysia kini cenderung meneroka destinasi tempatan, khususnya lokasi yang menawarkan pengalaman budaya asli dan suasana alam semula jadi yang tenang.
Antara tarikan utama yang menjadi pilihan pelancong ialah pasar malam di Kota Bharu yang terkenal dengan pelbagai makanan tradisional dan suasana meriah masyarakat setempat.
Selain itu, Istana Jahar turut menjadi destinasi penting bagi pengunjung yang ingin mengenali sejarah kesultanan Kelantan dan warisan negeri tersebut.
Persembahan seni tradisional di Pusat Kebudayaan Kelantan juga terus menarik perhatian pelancong yang mahu menyelami budaya tempatan secara lebih dekat.

Bagi pencinta seni dan kraftangan, Kampung Kraftangan Kota Bharu menawarkan pengalaman melihat sendiri penghasilan batik dan ukiran kayu tradisional oleh pengusaha tempatan.
Sementara itu, pelancong yang gemarkan aktiviti alam semula jadi boleh menikmati keindahan pulau-pulau terkenal seperti Redang dan Perhentian yang menawarkan air laut jernih, aktiviti snorkeling serta program pemuliharaan alam sekitar.

Keunikan ekopelancongan Pantai Timur turut terserlah menerusi pengalaman menyusuri kawasan paya bakau di Setiu Wetlands di Terengganu.
Aktiviti pelayaran santai di kawasan tersebut memberi peluang kepada pelawat menikmati biodiversiti tempatan dalam suasana yang lebih damai dan jauh daripada kesesakan pelancong.
Selain itu, aktiviti trekking hutan dan pencarian air terjun turut menjadi pilihan utama bagi mereka yang mahu menikmati pengalaman percutian berasaskan alam semula jadi.
Traveloka dalam kenyataan sama berkata pihaknya komited untuk memudahkan pengalaman perancangan perjalanan melalui platform yang menawarkan tempahan penerbangan, hotel, aktiviti dan pengangkutan dalam satu aplikasi.
Syarikat itu turut melihat peningkatan minat terhadap destinasi domestik sebagai peluang untuk memperkukuh sektor pelancongan tempatan dan menyokong kempen VM2026.

