Sebut sahaja nama hotel ini, pasti ramai yang teringatkan bangunannya yang gah di Jalan Sultan Ismail di tengah-tengah segitiga emas Bandaraya Kuala Lumpur.
Hotel mewah lima bintang yang bertaraf antarabangsa ini sudah berusia lebih 20 tahun dan merupakan salah satu hotel tersohor di Kuala Lumpur. Terletak di pusat kota, hotel ini juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana kedudukannya tidak jauh dari stesen monorel yang menghubungkan orang ramai dengan kesemua tempat-tempat menarik serta pusat-pusat perdagangan di sekitarnya. Ia juga bersebalahan Jalan Doraisamy yang masyhur dengan tempat-tempat bersantai dan hiburan.
Dengan ratusan bilik-bilik indah dari pelbagai taraf, hotel ini menjanjikan perkhidmatan terbaik buat semua tamunya yang hadir. Seperti hotel-hotel mewah lain, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan elektronik terkini serta perabot berkualiti tinggi. Senireka dalamannya juga bersesuaian dengan gaya penginapan masa kini yang eksklusif serta kontemporari.

Sheraton Imperial Kuala Lumpur juga mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti sebuah kolam renang, gimnasium serta pusat kesihatan, Ini termasuk bilik sauna, jacuzzi (lelaki dan perempuan) serta sudah tentu ruangan spa dan urut yang dikendalikan oleh pihak Mandara Spa, salah satu pengurus spa yang paling dikenali di Malaysia.

Menepati posisinya sebagai sebuah hotel perniagaan, ia sudah tentu dilengkapi ruangan khas untuk mengadakan mesyuarat dan seminar. Ia sangat berbeza dari ruang mesyuarat hotel-hotel biasa kerana senireka dan suasananya amat unik. Setiap bilik mesyuarat ada tema tersendiri dan sangat ceria seolah-olah berada di rumah atau pangsapuri dan bukan hotel perniagaan.
Tersedia juga sebuah lounge besar di luar bilik-bilik mesyuarat ini yang lengkap dengan sofa kaunter dapur yang sempurna untuk bersantai atau menikmati minuman panas dan makanan ringan. Tak lupa juga sebuah dewan besar untuk mengadakan pelbagai acara.





