Scoot, anak syarikat tambang murah Singapore Airlines (SIA), pada Khamis, 9 April 2026 mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan baharu ke Belitung dan Pontianak di Indonesia.
Dikendalikan menggunakan pesawat Embraer E190-E2, penerbangan ini masing-masing dijadualkan bermula pada Mei dan Jun 2026, sekaligus menawarkan akses yang lebih mudah serta pelbagai pilihan perjalanan kepada para pelancong.
Belitung merupakan permata tropika yang terletak di pesisir timur Sumatra dan terkenal dengan formasi geologi yang unik, kepelbagaian biodiversiti dan pesisir pantai yang masih terpelihara.
Pulau ini juga merupakan habitat kepada Belitung Tarsier, satu subspesis primat nokturnal yang hanya ditemui di pulau tersebut. Mulai 3 Mei 2026, Scoot akan melancarkan penerbangan ke Belitung sebanyak dua kali seminggu.

Pontianak, ibu kota Kalimantan Barat terletak tepat di garisan khatulistiwa serta menempatkan Tugu Khatulistiwa yang membolehkan para pengunjung berdiri di antara hemisfera utara dan selatan.
Bandar yang kaya dengan warisan budaya ini terletak di tebing Sungai Kapuas, iaitu sungai terpanjang di Indonesia dan terkenal sebagai destinasi gastronomi yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan yang menarik.

Mulai 29 Jun 2026, Scoot akan melakukan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu ke Pontianak.
Pelancong dari Malaysia kini boleh menikmati ketercapaian ke destinasi baharu melalui Lapangan Terbang Changi Singapura dengan tambang satu hala Kelas Ekonomi termasuk cukai bermula dari RM219 ke Belitung dan RM309 ke Pontianak.
Penerbangan ke destinasi baharu ini sudah boleh boleh ditempah melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan melalui saluran-saluran lain secara berperingkat.
Dengan pelancaran perkhidmatan penerbangan ke Belitung dan Pontianak, rangkaian penerbangan Scoot akan meningkat ke 85 destinasi merentasi 18 negara dan wilayah.
Tambah Kekerapan Penerbangan Sempena Cuti Sekolah
Selain pelancaran destinasi baharu, Scoot juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan dalam rangkaiannya bagi memenuhi permintaan perjalanan udara, terutamanya sempena musim cuti sekolah yang akan datang.
Mulai April 2026, kekerapan penerbangan ke Phuket akan meningkat dari 17 ke 21 kali seminggu dan kekerapan penerbangan dari Sibu akan meningkat dari tiga ke empat kali seminggu.
Mulai Jun 2026, penerbangan ke Bali dan Jakarta akan meningkat dari 28 ke 35 kali seminggu. Pada bulan yang sama, perkhidmatan ke Labuan Bajo akan meningkat dari dua ke tiga kali seminggu, manakala perkhidmatan ke Lombok dari 4 ke 10 kali seminggu serta Manado akan meningkat dari enam kali seminggu ke penerbangan harian.
Di Asia Utara, kekerapan perkhidmatan ke Okinawa akan meningkat dari tiga ke empat kali seminggu mulai April 2026.
Kekerapan penerbangan ke Changshaa juga akan meningkat dari empat ke lima kali seminggu. Di Eropah, kekerapan penerbangan ke Vienna akan meningkat dari tiga ke empat kali seminggu mulai Jun 2026.
Jadual penerbangan tertakluk kepada kelulusan dan pindaan oleh kerajaan dan pihak berkuasa. Semua penerbangan Scoot melalui Lapangan Terbang Changi Singapura. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan, layari www.flyscoot.com.

