Malam Sabtu di Axiata Arena Bukit Jalil menjadi saksi kepada satu peristiwa epik dalam sejarah muzik Malaysia. “Sheila Majid: 40 Years in Music” bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah perjalanan emosi, perayaan empat dekad seni, dan bukti bahawa legenda sebenar tidak pernah pudar sinarnya.

Dengan lebih 9,000 peminat memenuhi arena dan tiket terjual habis dalam masa singkat, Sheila Majid membuktikan bahawa kedudukannya sebagai Ratu Jazz Nusantara masih teguh dan relevan. Sepanjang tiga jam persembahan, Sheila tampil anggun dan memukau dalam rekaan eksklusif Michael Ang yang dipakainya sepanjang malam, melengkapkan kemewahan dan keanggunan persembahan tersebut.
Perjalanan Muzik Empat Dekad
Dari lagu DIA ke LAGENDA, daripada KUMOHON hingga MOVING ON, penonton dibawa mengembara ke seluruh era Sheila Majid. Setlist merangkumi lebih 25 lagu ikonik, disusun rapi bersama medley seperti GERIMIS SEMALAM, GEMILANG, RELAKAN dan DATANGLAH DALAM MIMPI. Setiap bait dan setiap not menyentuh memori serta nostalgia peminat dari generasi ke generasi.
“Sheila Majid 40 Years in Music adalah tribute terhadap semua tangan magis yang membentuk karier,” ujar Sheila dengan penuh emosi. “Saya berdiri di sini kerana kamu semua yang tidak pernah berhenti mencintai karya saya.”
Tenaga Kreatif yang Menghidupkan Ajaibnya Malam Itu
Konsert anjuran Altus Prohouse dan TopGallant Show ini disokong oleh pasukan produksi
bertaraf antarabangsa yang antaranya terdiri daripada:

Mac Chew sebagai pengarah muzikal sejak tahun 1987
Jenny Chin sebagai komposer dan kolaborator setia
Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert
Steve Ho sebagai pereka pentas dan pencahayaan
SM40 band menghidupkan setiap lagu dengan ketepatan teknikal dan jiwa muzik yang luar
biasa.
Momen yang Buat Semua Sebak
Detik paling menyentuh hati tiba ketika Sheila menyampaikan lagu DIDALAM EMOSI INI. Ribuan lampu telefon menyala, air mata penonton mengalir dan seluruh arena berdiri menyanyi bersama. Ia bukan sekadar persembahan, ia adalah pertemuan semula antara seorang artis dan peminat yang telah membesar bersama muzik yang sama.




Selebriti seperti Afgan, Anuar Zain, Jaclyn Victor, Ella dan M Nasir turut hadir memberikan sokongan, sekali gus menambah signifikan malam tersebut dalam landskap hiburan tempatan.
Pada usia 60 tahun, Sheila Majid membuktikan bahawa suara emas itu bukan sahaja masih berbisa tetapi semakin matang, bertenaga dan mempersonakan. Dengan aura penuh karisma, stamina luar biasa dan vokal yang tetap gemilang, beliau menyerikan pentas dengan penuh keyakinan.

“Saya akan terus menyanyi untuk semua rakyat Malaysia, selagi saya mampu,” kata Sheila disambut sorakan gemuruh penonton. Pada malam bersejarah itu, Axiata Arena bukan sekadar sebuah venue. Ia menjadi halaman sejarah yang merakamkan cinta, dedikasi dan seni seorang legenda.

