Tanggal 14 Disember 2025 bakal menjadi malam istimewa buat peminat muzik Indonesia di Malaysia apabila tiga nama besar, Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito, berkongsi pentas dalam konsert eksklusif, ‘Malam 3 Suara’ yang akan berlangsung di Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd, konsert ini bukan sekadar hiburan biasa, sebaliknya satu perjalanan muzik yang merangkai kisah cinta, kerinduan, harapan dan kebersamaan. Dengan lebih dua jam persembahan, penonton dijanjikan pengalaman penuh emosi yang sukar dilupakan.
Setiap artis membawa keunikan tersendiri. Rizky Febian, ikon pop generasi baharu dengan jutaan pendengar di Spotify, memukau dengan pesona pentas dan deretan lagu hits seperti Hingga Tua Bersama, Cuek dan Mantra Cinta.
Fabio Asher, yang melonjak dengan balada popular Bertahan Terluka dan Rumah Singgah, terkenal dengan keupayaan menyampaikan lirik penuh makna yang menusuk jiwa. Sementara itu,
Sementara, Anggi Marito, bintang muda berbakat besar yang dikenali melalui lagu Tak Segampang Itu dan Cara Mencintaimu, tampil dengan vokal tulus dan aura segar.
Apabila tiga suara ini digabungkan, lahirlah harmoni yang indah dan saling melengkapi. Menurut penganjur, konsert ini terbahagi kepada beberapa segmen, termasuk persembahan solo, duet dan kolaborasi khas yang hanya boleh disaksikan pada malam itu.

Secara keseluruhan, lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan dengan susunan rapi untuk membawa penonton menyelami pelbagai emosi.
Rizky yang telah dua kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur mengakui teruja untuk kembali ke bertemu peminat di sini.
“Ini peluang berharga untuk lebih dekat dengan peminat di Kuala Lumpur. Saya mahu kongsi muzik saya dan cipta kenangan indah bersama mereka,” katanya penuh semangat.
Bagi yang tidak mahu ketinggalan, tiket konsert kini sudah mula dijual di Ticket2u dengan harga bermula dari RM188 hingga RM448, bergantung kepada kategori tempat duduk.


