Setelah hampir dua tahun tidak berpeluang bercuti bersama-sama, baru-baru ini saya berkesempatan mencuri masa untuk merehatkan diri ke destinasi kegemaran, Pulau Lagenda, Langkawi.
Untuk persinggahan kali ini, saya dan suami memilih The Westin Langkawi Resort & Spa yang dicadangkan oleh seorang teman.
Lagipun, kami idamkan sebuah penginapan yang bukan sekadar tempat bermalam, tetapi destinasi yang menghidupkan semula keintiman, merehatkan jiwa, dan menyegarkan tubuh dalam suasana yang serba sempurna.
Ternyata pemilihan kami tidak salah. Sepanjang tiga hari, dua malam di The Westin Langkawi Resort & Spa, kami terbuai dengan keasyikkan layanan dan perkhidmatan yang diberikan.


Segala yang kami mahukan tersedia di hadapan mata, bahkan lebih daripada itu. Sempurna untuk percutian bulan madu.
Vila peribadi dengan kolam renang peribadi
Ketibaan kami disambut dengan minuman selamat datang dan senyuman mesra sebelum diiringi ke vila peribadi yang terletak tidak jauh dari pantai. Sejurus melangkah masuk ke dalam vila, hati terus berbunga riang. Bagaikan tidak percaya, resort ini memiliki penginapan yang menawan.
Reka bentuk moden berinspirasikan tropika, lengkap dengan lantai kayu, ruang tamu terbuka dan kolam renang peribadi menghadap laut, menjadikan setiap detik terasa eksklusif dan damai. Tingkap besar memberikan pencahayaan yang baik dan sementara hembusan angin laut menyapa lembut wajah kami.





Vila ini memang direka untuk pasangan. Punya ruang yang tenang, luas dan cukup intim. Malam pertama kami diakhiri dengan suara ombak yang mendamaikan, dan pagi esoknya dikejutkan dengan pemandangan matahari terbit dari katil bersaiz king yang empuk.
Sungguh, ini bukan hanya tempat untuk bermalam, tetapi ruang untuk menyatu semula hati yang lama tenggelam dalam kesibukan.
Penuhi selera dengan sajian kulinari menyelerakan

Memandangkan percutian kali ini tujuannya adalah untuk berehat dan bersantai, kami tidak mahu jauh dari vila. Jadi, menjamu selera di hotel adalah pilihan terbaik. Lagipun, resort berbintang lima ini tidak pernah berkompromi dalam hal kulinari.
Di sini kami menikmati pelbagai sajian tempatan dan antarabangsa yang menyelerakan. Makan malam di tepian pantai, dengan pelbagai sajian enak seperti ikan Siakap bakar berempah, udang karang bakar, dan udang galah bersalut tepung.



Sarapan pagi di Seasonal Tastes pula menawarkan pelbagai pilihan dari roti bakar segar, buah-buahan tempatan, hinggalah ke nasi lemak dan roti canai yang disediakan dalam pelbagai pilihan. Hidangan di sini bukan sekadar makanan, ia adalah pengembaraan kulinari yang pelbagai rasa.






Rawatan spa yang mengasyikkan
Tiada percutian romantik yang lengkap tanpa rawatan spa, jadi sekiranya anda ke sini bersama si dia, mesti bawa diri ke Heavenly Spa by Westin. Terletak bersebelahan laut, ruang spa ini menawarkan privasi dan ketenangan yang sukar ditandingi.



Kami dicadangkan untuk mengambil pakej pasangan yang terdiri daripada urutan badan aromaterapi selama 90 minit. Rawatan badan ini dimulakan dengan sesi urutan kaki yang melegakan. Alunan muzik yang memenuhi ruang membuatkan diri terbuai seketika.
Tangan-tangan terapis profesional berjaya meleraikan ketegangan, lantas membuatkan tubuh terasa cukup segar dan rilek. Usai rawatan, petugas spa menghidangkan teh herba bersama biskut enak.

Sambil menghirup teh, mata kami tidak lepas menikmati pemandangan laut yang membiru. Ia adalah pengalaman terapeutik yang membelai jiwa dan pujian layak diberikan kepada terapis yang mengurut kami, iaitu Aisyah dan Aryani.
The Westin Langkawi Resort & Spa bukan sekadar tempat untuk bercuti, ia adalah destinasi untuk memanjakan diri sambil menikmati keindahan Laut Andaman.
Untuk pasangan, di sini adalah tempat untuk mencipta detik-detik manis dan menghidupkan semula keintiman dalam suasana mewah dan tenang.
Walaupun hanya 3 hari 2 malam, pengalaman di The Westin Langkawi Resort & Spa terasa cukup bermakna. Kami pasti kembali!
Foto : MizzAyu

