Tiket kemasukan bagi dua buah produk tarikan pelancongan di bawah pengurusan Tourism Selangor Sdn Bhd, Taman Eko Rimba Chongkak dan Taman Eko Rimba Kanching akan dinaikkan bemula 2 Disember 2024.
Ini berikutan keperluan untuk menaiktaraf kedua- dua buah kawasan tersebut daripada segi pembangunan infrastruktur serta peningkatan aspek keselamatan untuk pengunjung dan pelancong.
Bermula dengan harga serendah RM 2.00 untuk pengunjung tempatan dan RM 8.00 untuk pengunjung antarabangsa di Taman Eko Rimba Chongkak dan Taman Eko Rimba Kanching sejak tahun 2022, kenaikan sebanyak RM 2.00 akan dikenakan dan kanak- kanak berumur 12 tahun ke bawah kekal percuma seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Di bawah struktur baharu ini, harga tiket untuk pengunjung tempatan akan dikenakan sebanyak RM 4.00 dan pengunjung antarabangsa akan dikenakan RM 10.00 pada hari bekerja, manakala kadar RM 5.00 untuk pengunjung tempatan dan RM 12.00 untuk pengunjung antarabangsa akan dikenakan pada hujung minggu dan cuti umum.
Kedua- dua buah kawasan pelancongan ini telah menerima kunjungan pelancong yang tinggi dengan data kemasukan pengunjung merekodkan sebanyak 89,164 pengunjung di Taman Eko Rimba Chongkak dan 55,852 pengunjung di Taman Eko Rimba Kanching sepanjang bulan Januari hingga Oktober 2024.
Pihak Tourism Selangor Sdn Bhd kekal komited untuk membaikpulih dan memulihara kawasan pelancongan eko di Negeri Selangor, untuk keselesaan pengunjung tempatan dan antarabangsa, terutamanya menuju ke Tahun Melawat Selangor 2025.