Kini anda boleh alami ‘Petcation Paw-fect’ di hotel mesra haiwan peliharaan pertama di Bukit Jalil! Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil baru-baru ini mengumumkan polisi terbaharunya yang mesra haiwan peliharaan.
Pengenalan polisi ini adalah sebahagian daripada komitmen mereka untuk memberi layanan luar biasa kepada tetamu yang ingin menikmati sebuah percutian bersama si comel yang telah dianggap sebagai ahli keluarga.
Setiap bilik mempunyai keluasan yang selesa dan serba lengkap, direka untuk memastikan tetamu dan haiwan peliharaan dapat menikmati penginapan yang santai dan bebas tekanan. Seorang petugas akan membersihkan bilik selepas tetamu dan si comel mendaftar keluar.


Satu fakta yang anda mesti tahu, Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil juga terletak di lokasi yang berhampiran dengan beberapa kawasan dan perkhidmatan mesra haiwan peliharaan.
Ada banyak klinik veterinar di dalam kawasan Bukit Jalil. Klinik yang paling hampir ialah Klinik & Pembedahan Veterinar Bukit Jalil, hanya 5 minit memandu dan dibuka pada setiap hari sehingga jam 9:30 malam.
Selain itu, Taman Rekreasi Bukit Jalil hanya dalam jarak berjalan kaki yang singkat dari hotel. Taman ini menawarkan ruang hijau yang luas, denai berjalan kaki, dan kawasan khusus untuk haiwan peliharaan bebas berkeliaran.
Polisi yang mesti dipatuhi
Untuk mengekalkan persekitaran yang mesra untuk semua tetamu, pihak hotel meminta semua pemilik haiwan peliharaan mematuhi garis panduan berikut:
1. Untuk keselesaan dan keselamatan semua tetamu, haiwan peliharaan tidak dibenarkan di restoran, bar, kawasan kolam renang dan kawasan tetamu umum yang lain.
Haiwan peliharaan mesti berada bersama pemilik pada setiap masa apabila mereka berada di lobi hotel (semasa daftar masuk/keluar) dan koridor tingkat bilik tetamu dan di dalam lif.
2. Dengan mengambil kira adat dan sensitiviti tempatan, anjing dikecualikan daripada polisi haiwan peliharaan ini dan tidak dibenarkan berada di premis hotel.
3. Haiwan peliharaan harus dilatih di rumah dan beratnya di bawah sembilan kilogram. Peraturan kesihatan dan keselamatan haruslah dipatuhi pada setiap masa.
4. Setiap bilik hanya boleh membawa dua haiwan peliharaan. Pihak hotel berhak menolak haiwan peliharaan yang tidak memenuhi piawaian biasa untuk latihan rumah, berdasarkan spesies, bau, tingkah laku agresif atau berbahaya.
5. Hotel mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan sama ada haiwan peliharaan dibenarkan menyertai tetamu atau sebaliknya semasa menginap di hotel.
Sekiranya berlaku sebarang gangguan yang tidak dijangka yang disebabkan oleh haiwan pelliharaan, pihak hotel mempunyai hak mutlak untuk meminta haiwan peliharaan itu meninggalkan hotel.
6. Tempahan awal tiga hari bekerja mesti dibuat sekiranya anda ingin membawa haiwan peliharaan ke hotel dan pihak hotel kemudiannya akan menghubungi anda untuk membuat pengaturan.
Pasukan hotel akan menilai dan membuat pengesahan secara bertulis jika hotel dapat menerima kunjungan anda bersama haiwan peliharaan.
7. Hotel mempunyai hak mutlak untuk menetapkan bilik yang boleh ditempah memandangkan bilik mesra haiwan peliharaan terletak di tingkat tertentu sahaja.
Caj sekali bayar untuk pembersihan bilik
Untuk memastikan kebersihan dan keselesaan penginapan untuk semua tetamu, terdapat caj sekali bayar dikenakan untuk pembersihan bilik berdasarkan tempoh penginapan tetamu. Pembersihan akan dilakukan sebaik sahaja tetamu mendaftar keluar.
Berikut adalah jumlah caj yang dikenakan :
1 hingga 7 Malam: MYR 400+
8 hingga 14 Malam: MYR 600+
15 hingga 21 Malam: MYR 800+
22 hingga 30 Malam: MYR 1000+
Untuk maklumat lanjut, sila layari at hyattplacekualalumpurbukitjalil.com atau emailkan pertanyaan anda di kualalumpur.place@hyatt.com.