Selangor terus menawan pasaran pelancongan Timur Tengah dengan tawaran tarikan pelancongan yang menarik. Dengan lonjakan ketibaan pelancong dari Timur Tengah sebanyak 99% pada tahun 2023, Tourism Selangor telah mengorak langkah dengan menjalankan misi jualan yang di Dubai, semasa acara Arabian Travel Market diadakan pada 6 hingga 9 Mei 2024. Diterajui oleh Tourism Malaysia Dubai bersama delegasi-delegasi dari Tourism Selangor, inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia ada serta mengambil peluang untuk meneroka peluang kerjasama baharu.

Sepanjang misi jualan diadakan, beberapa kerjasama telah diadakan dengan pemain-pemain industri pelancongan utama di Timur Tengah termasuk KPJ Healthcare bagi mempromosikan pelancongan kesihatan di rantau ini. Sebuah kerjasama strategik juga telah diadakan bersama AirArabia kali ini bagi mengkukuhkan kesalinghubungan dan sokongan oleh pihak agensi penerbangan. Dengan jumlah 96 penerbangan serta kapasiti 30,462 tempat duduk bagi penerbangan dari negara-negara Timur Tengah ke Negeri Selangor direkodkan pada tahun 2022 oleh beberapa syarikat penerbangan seperti AirArabia, Salam Air, Emirates, Etihad Airways, Qatar Airways dan lain-lain, sinergi ini dijangka akan membuka jalan kepada usaha sama bagi beberapa program seperti promosi silang dan sesi B2B yang mampu meningkatkan profil pelancongan Negeri Selangor di peringkat global.

Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor dalam satu kenyataan berkata, dengan lonjakan kedatangan pelancong yang ketara sebanyak 89,006 pelancong pada tahun 2022 dan 176,711 pelancong pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 99%, terdapat minat melancong dalam kalangan pelancong dari Timur Tengah terhadap tarikan pelancongan di Negeri Selangor.

Antara penyumbang utama kemasukan pelancong ke Negeri Selangor dari Timur Tengah ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Oman. Ketiga-tiga Negara ini telah menyumbang 79.13% daripada 176,711 ketibaan pelancong. Lima Pihak Berkuasa Tempatan juga telah menerima kedatangan pelancong Timur Tengah tertinggi — Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam, mengukuhkan lagi tarikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama .

Sejajar dengan kempen pelancongan global Negeri Selangor, “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!”, Negeri Selangor akan kekal komited untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan agensi antarabangsa dan ejen pelancongan bagi memacu pertumbuhan perniagaan. Perkongsian dengan pihak berkepentingan di peringkat global akan menjadi titik tolak untuk mencapai jumlah kedatangan pelancong sebanyak 7 Juta pelancong semasa Tahun Melawat Selangor pada tahun 2025.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah