Jakarta, Indonesia sentiasa dekat di hati penulis. Setelah tiga tahun tidak menjejakkan kaki ke sini, hati mula rindu.

Rindu bukan kepalang dengan makanan dan juga aktiviti membeli-belah di sana. Benar, bukanlah sesuatu yang mustahil mahu mencari makanan Indonesia di Malaysia, tetapi ‘keaslian’ tidak sama. Paling penting, persekitarannya tidak sama!

Jadi, baru-baru ini penulis cari kesempatan untuk melawat Jakarta. “Pasti ada yang baru menanti” – bisik hati ini.  Telahan penulis ternyata benar.

Namun, untuk entri kali ini, penulis mahu berkongsi tentang dua hotel baharu yang patut anda cuba apabila anda berkunjung ke Jakarta nanti. Kedua-dua hotel ini dimiliki oleh Kumpulan Prima Hotel Indonesia.

Ashley Tang Menteng

Hotel yang baru sahaja dibuka pada November 2022 ini terletak di lokasi yang sangat strategik. Cukup ideal untuk pencinta ‘street food’ kerana ia berada di tengah-tengah Jakarta dan ‘Jalan Kulinari Sabang’. Bermalam di sini bermakna anda tidak perlu gusar tentang makan malam.

Banyak yang menanti. Restoran Garuda dan Rumah Makan Sederhana yang terkenal dengan nasi padang, hanya beberapa meter sahaja dari hotel. Begitu juga dengan pilihan menu jalanan seperti nasi goreng gila, sate kambing, nasi goreng kambing dan banyak lagi.

Mengintai dari luar hotel, anda sudah boleh membayangkan hotel ini punya pesona tersendiri. Melangkah masuk ke lobi hotel, hati lebih gembira kerana anda sudah boleh melihat dengan jelas dekorasi menawan yang dipersembahkan. 

Hotel moden berkonsepkan Shanghai China ini dikatakan menjadi kegemaran ramai pempengaruh media sosial kerana ada banyak sudut menarik untuk memotret gambar kenangan.

Terdapat lima jenis bilik yang boleh dijadikan pilihan iaitu Superior Queen, Deluxe View Queen, Deluxe View Twin, Deluxe Triple Room dan Executive Twin. Jadi terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Bergantung kepada bajet. Ini kerana setiap bilik punya keluasan berbeza.

Namun, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan skin televisyen pintar, pembesar suara bluetooth JBL, penghawa dingin dan tidak ketinggalan saluran penstriman, Netflix untuk pengalaman menyeronokkan di Ashley Tang. Paling menarik anda juga boleh menggunakan ‘laundry room’ layan diri yang tersedia di lobi.

Kalau mahu membasuh baju, laundry room turut tersedia

Walaupun terletak berhampiran dengan pelbagai jenis tempat makan, namun hotel ini turut menempatkan sebuah restoran Cina, Tong House, untuk tetamu menikmati sarapan pagi, makan tengahari dan malam.

Menampilkan suasana yang elegan dan santai, restoran oriental ini menyajikan pelbagai hidangan kegemaran tradisional lagi moden yang diolah secara berseni oleh cef berpengalaman.

Percayalah pengalaman menjamu selera di sini juga tidak kurang menariknya, kerana selain dapat menikmati hidangan lazat, anda juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar di beberapa sudut menarik. Oh ya! Jangan lupa nikmati hidangan dim sumnya. Sedap!

Tong House
Tong House

Untuk maklumat lanjut tentang Ashley Tang Menteng, boleh layari laman web mereka di sini.

Ashley Tanah Abang

It’s perfect for shopaholic! Hanya beberapa meter dari Komplek Beli-Belah Tanah Abang. Tak perlu ambil teksi atau tempah grab, hanya jalan kaki kira-kira lima minit dari lobi hotel. Ini bermakna anda boleh ulang-alik ke pusat membeli-belah ini jika terlupa membeli barangan yang diidamkan.

Ashley Tanah Abang sebenarnya menyasarkan tetamu kelas perniagaan untuk bermalam di sini dek kedudukannya yang juga berada di tengah-tengah kota Jakarta.

Ketika penulis berada di sini, penulis sendiri dapat melihat ramai tetamu kelas ini yang memenuhi restoran hotel untuk makan tengahari dan sarapan pagi.

Persinggahan penulis di hotel ini cuma seketika, iaitu hanya semalam. Iaitu kurang dari 24 jam kerana perlu mengejar penerbangan di awal pagi. Bagaimanapun, pengalaman seketika ini sudah memuaskan hati memandangkan hotel ini masih baru.

Lobi hotel

Dibina secara kontemporari dengan suasana yang menghijau dan tenang, Ashley Tanah Abang adalah ‘syurga’ berhampiran tempat-tempat utama di sekitar Thamrin.  

Bahkan ia juga menjanjikan ‘Pengalaman Tidur Terbaik’ memandangkan setiap bilik menggunakan peralatan tempat tidur premium dengan King Koil dan linen mewah untuk tidur malam yang lena diulit mimpi.

Berbeza dengan Ashley Tang Menteng, Ashley Tanah Abang menawarkan lapan jenis bilik kerana mempunyai kapasiti yang lebih besar. Antara bilik yang tersedia ialah Superior Twin, Deluxe Double, Family Room dan Ashley Room yang tampil lebih mewah.

Harga bilik pula bergantung kepada tarikh pilihan. Untuk bilik Superior Double contohnya, jika tempahan dilakukan secara terus di laman web hotel, harga yang ditawarkan ialah RM271.15 semalam untuk tarikh 4 Mac 2023. Untuk hotel bertaraf empat bintang, harga ini sebenarnya cukup berbaloi.

Jika punya banyak masa, tetamu boleh singgah ke pusat kecergasan dan bersantai di kolam renang. Kolam renang hotel ini memang popular di kalangan tetamu kerana ia nampak cantik apabila dikongsi ke akaun media sosial.

Tempat menarik popular lain yang turut berhampiran dengan hotel ialah pusat beli-belah Sarinah, Grand Indonesia, Monumen Selamat Datang, Jakarta Textile Museum dan Monumen Selamat Datang. Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta hanya 25 kilometer jauhnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web hotel ini di sini.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah