“Once a year, go someplace you’ve never been before”! Tahun ini ke mana agaknya destinasi yang ingin dijejaki? Jomlah ke Taiwan! Anda pasti kagum dengan kemodenannya, terpesona dengan keindahannya. Meneroka ibu kota metropolis, Taipei sahaja sudah boleh membuatkan anda seronok, apa lagi mengembara ke luar kota.

Taipei adalah sebuah bandar raya serba moden terbesar di Taiwan yang berada di kedudukan kelapan dalam indeks global bandar pintar sehingga mendapat pengiktirafan sebagai Bandaraya Alpha oleh Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).

Kini, ada satu sebab lagi mengapa harus menyenaraikan Taiwan dalam ‘travel bucket list’ anda. Biro Pelancongan Taiwan, kini sedang giat mempromosikan kempen Salam Taiwan dalam usaha menarik minat pengembara atau pelancong muslim dari Malaysia untuk bercuti ke negara kepulauan itu.

Kempen yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 itu bertujuan untuk memperkenalkan lokasi dan aktiviti menarik di Taiwan yang mesra muslim seperti makanan dan minuman, penginapan dan tempat awam yang dilengkapi surau untuk menunaikan solat.

Tahun ini, pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat telah diangkat sebagai duta kempen Salam Taiwan. Sebagai duta pelancongan, Ayda pada Disember lalu telah terbang ke Taiwan untuk melihat sendiri keindahan dan keunikan negara yang digelar ‘Jantung Asia’ itu.  Beberapa wakil pihak media juga turut diundang, dan penulis adalah salah seorang daripadanya, mewakili Travellah.

Sepanjang enam hari, lima malam meneroka bumi Taiwan, banyak tarikan yang sempat kumpulan kami jejaki. Jujur penulis katakan, diri ini terpesona dan ingin kembali supaya boleh mengintai tempat-tempat yang belum sempat dilawati.

Oh ya! Ketika ini adalah waktu terbaik untuk anda merancang perjalanan ke sana. Ini kerana bermula Mac hingga Mei, Taiwan berada dalam musim bunga. Suhu waktu ini adalah sekitar 25 darjah celsius. Namun begitu, jika anda berminat untuk menyertai pesta seperti festival belon, bunga api atau kulinari, waktu sesuai adalah sekitar Jun hingga Ogos.

Berikut adalah 5 tarikan pelancongan yang boleh dilawati jika bercuti ke Taiwan. Senarai berikut adalah mengikut turutan kegemaran penulis.

1) Shifen Old Street

Sesuai dengan namanya, Shifen Old Street tempat di mana anda ingin melihat bandar kereta api lama yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisonal masyarakat zaman dahulu. Pada asalnya ia dibina untuk mengangkut arang batu, hentian Jalan Lama Shifen kini telah menjadi salah satu yang paling popular di laluan kereta api Pingxi.

Ada banyak kedai yang menjual cenderahati untuk dijadikan ole-ole. Dengan suasana dan pemandangan yang mengimbas nostalgia, jangan lepaskan peluang untuk memotret gambar sendiri kerana ia adalah tempat yang hebat untuk fotografi.

Satu aktiviti yang mesti anda lakukan ialah, melepaskan tanglung bertulis impian anda ke udara. Mengikut sejarah, tanglung ini dahulunya digunakan sebagai sistem isyarat bagi mereka yang tinggal dan bekerja dalam industri kereta api. Kos untuk melakukan aktiviti ini berharga di antara TWD100 ke TWD150 untuk setiap satu tanglung.

Untuk bacaan lanjut, anda boleh layari laman web ini.

2) Jiufen Old Street

Bandar kecil yang suatu ketika dahulu kaya dengan perlombongan emas sehingga diberi nama julukan ‘Golden Mountain City’. Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, bandar itu menjadi sepi selepas kemerosotan perlombongan emas.

Pada tahun 1980-an, filem ‘A City of Sadness’ dikatakan menjalani pengembaraan di sini dan akhirnya Jiufen meledak sebagai bandar pelancongan popular. Ramai pelancong luar negara mahupun tempatan mahu ke sini untuk menyaksikan keindahan gunung dan laut, bangunan retro dan landskap unik yang mempesona.

Biarpun bandar ini kecil sebenarnya banyak yang boleh dilihat jika punya masa di antara dua hingga ke tiga jam. Sayangnya kumpulan kami tidak punya masa. Satu jam berada di sini, kami hanya sempat berjalan-jalan di laluan sempit yang menempatkan pelbagai jenis kedai.

Di sinilah kami berhabisan duit membeli ole-ole pada harga yang lebih murah, di sini jugalah tempat kami tidak henti-henti mencuba pelbagai jenis makanan yang menambat selera. Perjalanan ke Jiufen mengambil masa kira-kira satu jam dari Taipei.

Lebih banyak maklumat boleh diperolehi di sini.

3) Alishan Forest Recreation Area

Untuk sampai ke tarikan ini, anda perlu sanggup menempuh perjalanan yang panjang. Ia mengambil masa hampir lima jam dengan kereta atau bas. Memang jauh tetapi berbaloi kerana ia menjanjikan cuaca dingin dek kedudukan yang di kawasan pergunungan. Bahkan, pemandangan yang terbentang di depan mata juga mempesona.

Alishan Forest Recreation Area ini dibuka 24 jam dan caj masuk yang dikenakan ialah TWD300 untuk seorang. Banyak aktiviti atau tarikan yang boleh lihat di sini. Di sinilah tempatnya untuk menenggelamkan diri dalam kedinginan hutan, melihat matahari terbit, mengintai keindahan bunga Sakura dan menyaksikan lautan awan yang menghiasi langit.

Penulis berkesempatan menaiki keretapi merah yang membawa pengembara ke beberapa perhentian. Seronok kerana ia merupakan pengalaman pertama. Untuk berpatah balik ke tempat kami bermula, kami memilih untuk berjalan kaki melalui trek hutan kerana ingin mengambil lebih banyak gambar. Pilihan ini ternyata tepat kerana ia membawa kami ke beberapa tarikan indah lain.

4) Zhuo Yee Cottage

Dari Taipei, ia mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke tarikan yang terletak di Sanyi, daerah Mioli ini. Ada gabungan tradisional dan moden bagi menghidupkan suasana. Banyak sudut menarik untuk merakam memori. Tarikan ini menjemput pengunjung untuk sama-sama menghayati alam.

Satu aktiviti yang cukup seronok untuk dicuba ialah membuat ‘tie-dye’ yang menggunakan warna-warna yang dihasilkan daripada tumbuhan serta bebas daripada bahan-bahan kimia. Anda boleh pilih corak atau motif yang digemari.

Percayalah, aktiviti ini boleh menjadi satu terapi diri. Sebaik sahaja arca seni anda terhasil, hati pasti berbunga riang dan puas. Dek kerana itulah, aktiviti yang mula diperkenalkan pada 2004 oleh pemilik kotej ini sentiasa mendapat sambutan ramai. Tak kira di kalangan kanak-kanak, mahupun dewasa.

Selepas bertahun-tahun berusaha, kini Zue Ye Cottage bukan sahaja memasarkan produk mereka sendiri dan menghasilkan semua jenis produk pewarna indi yang berkualiti tinggi, tetapi juga telah menaikkan reputasi pewarna indi di Taiwan.

Ketika singgah di sini tempoh hari, penulis dan rakan-rakan sempat menjamu selera di restoran yang hanya menghidangkan menu vegan. Boleh pilih pelbagai jenis sayuran dan masukkan ke dalam sup mendidih (stimbot). Memang membangkitkan selera kerana cuaca yang dingin.

Boleh semak https://www.joye.com.tw/index/ untuk maklumat lanjut.

5) Taipei 101 Observatory

Kalau sudah sampai ke Taiwan, jangan sesekali lepaskan peluang ke menara yang menjadi kebangaan rakyat Taiwan ini. Bangunan hijau tertinggi di dunia ini dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.

Platform atau kawasan tinjauan yang terdiri daripada 4 tingkat ini membolehkan pengunjung menikmati pemandangan hebat Taipei dan belajar tentang keajaiban kejuruteraan Taipei 101. Sama ada anda ke sini pada siang atau malam, pemandangan yang terbentang di depan mata adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan. Pastikan bateri telefon mencukupi untuk mengambil gambar dan video sepuas-puasnya.

Ketika mengelilingi platform tinjauan, anda boleh menemui kafe dan kedai menjual cenderahati. Jadi, jika anda punya banyak masa, bolehlah luangkan masa sebanyak mungkin di atas ini. Apa kata nikmati secawan kopi sebelum beredar ke tarikan lain atau pulang ke hotel.

Tiket boleh dibeli secara online di beberapa platform ejen pelancongan seperti Trip.com atau kkday.com jika anda tidak suka beratur untuk membeli tiket.  Layari website ini untuk bacaan lanjut.

Tunggu apa lagi? Jomlah ke Taiwan. Segalanya ada di sana.

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah