Percutian di homestay bukanlah sesuatu yang membosankan. Lebih-lebih lagi jika anda bercuti bersama keluarga selepas beberapa lama ‘terkurung’ di rumah sendiri.

Percutian di homestay memberikan pengalaman berbeza kerana ia memberi peluang untuk anada tinggal bersama keluarga angkat tempatan.

Tuan rumah akan meraikan kedatangan pelancong dan menyediakan aktiviti-aktiviti kampung yang menarik.

Homestay merupakan satu aktiviti pelancongan terbaik bagi memahami budaya, suasana kampung, kesenian dan cara hidup sesebuah masyarakat.

Berikut senarai homestay yang disarankan oleh Tourism Selangor. Setiap satu mempunyai leses dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) di Negeri Selangor.

1) HOMESTAY BANGHURIS, SEPANG

Ramai tidak tahu tentang homestay Banghuris yang terkenal di kalangan pengunjung luar negara kerana kawasannya yang cantik dan menyediakan plelbagai aktiviti menarik.

Homestay Banghuris yang terletak di Daerah Sepang ini mempunyai 80 buah rumah dan 100 buah bilik penginapan kesemuanya.

Pada tahun 2004, ia dinobatkan sebagai ‘Best Homestay in Malaysia’ oleh Tourism Malaysia. Antara aktiviti yang boleh dilakukan antaranya seperti permainan gasing, menyumpit, membuat dan bermain wau, lawatan ke kilang kerepek dan snek tradisional (cakar ayam), lawatan ke ladang buah naga, kopi, kelapa sawit, ladang getah, demonstrasi menoreh getah dan banyak lagi.

Harga pakej bermula dari RM70 hingga ke RM300 seorang, bergantung kepada pakej yang dipilih. Untuk maklumat lanjut, layari lcct.com.my atau hubungi (+6019-3919547)

2) HOMESTAY SUNGAI HAJI DORANI, SABAK BERNAM

Homestay Sungai Haji Dorani merupakan tempat yang sangat sesuai untuk membawa keluarga anda bercuti dalam suasana kampung yang dikelilingi dengan sawah padi yang cantik.

Terdapat banyak aktiviti yang disediakan sepanjang anda berada di homestay ini. Antaranya adalah permainan congkak, tarik upih pinang, mewarna batik, melerai padi dari tangkai, memancing dan menangkap ikan di sawah, mandi manda di sungai, lawatan ke bengkel kuih tradisional dan banyak lagi.

Dengan lanskap sawah padi yang menghijau, ia juga merupakan tempat yang cukup idea untuk merakam memori bersama keluarga. Harga adalah mengikut pakej yang dipilih dalam lingkungan harga sebanyak RM65-RM300 seorang.

Untuk maklumat lanjut, layari doranihomestay.com atau hubungi (+60136077025)

3) HOMESTAY KAMPUNG SUNGAI SIREH, KUALA SELANGOR

Homestay yang dikelilingi hutan hijau ini amat tenang dan damai untuk dikunjungi. Hamparan sawah padi yang menghijau tambah mempesona.

Jika menginap di sini, anda akan disambut dengan mesra oleh tuan rumah dan masyarakat setempat, malah anda akan dibawa untuk melakukan aktiviti-aktiviti menarik.

Antaranya ialah aktiviti mewarna batik, menaiki traktor di sekitar kawasan kampung, belajar tentang penanaman padi tradisional, cara penebangan kayu dan tanaman herba.

Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti menangkap ikan keli dengan menggunakan tangan di dalam lumpur, berkayak, memancing di sungai-sungai kecil, terusan dan laut, jungle trekking dan banyak lagi.

Harga pakej untuk bermula daripada RM60 ke RM200 seorang, bergantung kepada pilihan pakej

Untuk maklumat lanjut, layari agrotourismhomestaysgsireh.blogspot.com atau hubungi (+6019-346 7372)

4) HOMESTAY PAPITUSULEM, SABAK BERNAM

Homestay Papitusulem terletak di Sekinchan yang mana tempat ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

Suasana kampung ini sangat cantik kerana dikelilingi lapangan sawah padi menghijau. Homestay Papitusulem ini membolehkan anda merasai kehidupan kampung dengan tinggal bersama keluarga angkat yang bekerja sebagai petani.

Selain berpeluang menjamu selera dengan masakan kampung yang membuka selera, anda juga akan dibawa meninjau ke kawasan sawah padi, melawat kebun sayur-sayuran, tempat pemprosesan santan kelapa dan lain-lain lagi.

Anda juga akan dipersembahkan dengan tarian kebudayaan kompang, seni silat, kuda kepang dan cempuling.

Bukan itu sahaja, terdapat juga tempat rekreasi di mana anda boleh berkayak, menaiki bot serta memancing di laut. Harga pakej dalam lingkungan harga sebanyak RM20-RM120 seorang.

Untuk maklumat lanjut, layari papitusulemhomestay.yolasite.com atau hubungi (+60172712260)

5) HOMESTAY ANJUNG DAMAI KAMPUNG SUNGAI LANG TENGAH, KUALA LANGAT

Terletak di Kuala Langat, homestay Anjung Damai ini merupakan destinasi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara kerana suasananya yang nyaman serta menawarkan aktiviti kampung yang cukup menyeronokkan.

Homestay ini dilengkapi dengan fasiliti seperti penghawa dingin, tempat letak kenderaan yang luas, bilik air moden, malah lokasi yang berhampiran dengan pasar raya dan restoran.

Selain itu, anda juga melakukan aktiviti memandu ATV, lawatan ke ladang ternakan lembu, kambing dan biri-biri, menyusuri hutan paya bakau, dan banyak lagi. Harga pakej bergantung kepada pilihan aktiviti yang digemari, iaitu di antara RM60 hingga ke RM250 seorang.

Untuk maklumat lanjut, layari @anjungdamaihomestay/facebook atau hubungi (+6013-233 3768)

6) HOMESTAY BOUGAINVILLEA KAMPUNG SUNGAI KERTAS, GOMBAK

Homestay Bougainvillea ini terletak di Gombak di mana tempat ini menawarkan kehidupan yang berbeza dari kawasan bandar.

Percutian di sini menarik kerana banyak aktiviti yang disediakan untuk pengunjung berseronok. Penduduk Kampung Sungai Kertas sentiasa mengamalkan aktiviti bergotong-royong dengan masyarakat setempat, malah warisan tradisi sentiasa diraikan.

Antara aktiviti yang ditawarkan di dalam pakej percutian di sini adalah seperti pakej perkahwinan Melayu dengan menampilkan persembahan kebudayaan, ruang tempat pengantin, pakaian perkahwinan pengantin Melayu dan lain-lain lagi.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk mempelajari menyediakan masakan tradisi seperti sambal tempe serta makanan masyarakat Mandailing iaitu Nasi Upa-Upa.

Harga pakej di antara RM98 hingga RM380 seorang.

Untuk maklumat lanjut, layari sungaikertas.blogspot.com atau hubungi (+60163920439)

Share:
, , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *