Kos sara hidup meningkat, kos perjalanan juga semakin melambung, dan bajet bercuti pun tidak lagi semudah dahulu. Namun, semua itu belum cukup untuk membuatkan rakyat Malaysia berhenti melancong. Sebaliknya, cara mereka bercuti yang semakin berubah.

Data terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pelancongan domestik terus mencatat pertumbuhan. Pada suku pertama 2026, sebanyak 74.7 juta pelawat domestik direkodkan, meningkat 7.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Lebih menarik, perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM34 bilion, meningkat 15.8 peratus.

Trend ini menunjukkan orang masih mahu bercuti, cuma mungkin mereka semakin bijak menentukan destinasi, tempoh percutian, dan berapa banyak kos yang ingin dibelanjakan.

Percutian pendek semakin masuk akal

Tidak semua percutian perlu mengambil masa seminggu.

Short getaway dua atau tiga malam kini lebih mudah diselitkan antara komitmen kerja dan kehidupan seharian. Tak perlu menunggu cuti panjang untuk menikmati hotel yang cantik, mencuba restoran baharu atau sekadar keluar daripada rutin.

Malah, data DOSM menunjukkan purata tempoh menginap pelancong domestik meningkat sedikit kepada 2.56 malam pada 2025, berbanding 2.49 malam pada tahun sebelumnya.

Ini menunjukkan rakyat Malaysia masih memperuntukkan masa dan wang untuk perjalanan, tetapi mungkin lebih berhati-hati memilih pengalaman yang benar-benar berbaloi.

Bila travel mahal, kita jadi lebih memilih

Dahulu, destinasi popular mungkin menjadi pilihan automatik. Sekarang, harga bilik, kos petrol, tiket penerbangan dan makan semuanya masuk dalam kiraan sebelum tempahan dibuat.

Sebab itu percutian dalam negara semakin mempunyai daya tarikan tersendiri.

Pada 2025, jumlah perbelanjaan pelancongan domestik Malaysia mencecah RM121.3 bilion, meningkat 13.6 peratus daripada 2024. Shopping kekal sebagai kategori perbelanjaan terbesar, diikuti makanan dan minuman serta pembelian bahan api kenderaan.

Maksudnya, rakyat Malaysia bukan berhenti berbelanja untuk travel. Mereka cuma semakin value-conscious.

Hotel yang menawarkan pengalaman lebih baik, destinasi yang mudah dicapai, promosi menarik dan percutian yang tidak memerlukan bajet terlalu besar mungkin lebih mudah mendapat perhatian.

Dan mungkin itulah perubahan terbesar dalam cara kita melancong hari ini. Bukan lagi siapa yang boleh pergi paling jauh, tetapi siapa yang boleh mendapatkan pengalaman paling bermakna dengan bajet yang ada.

Kerana pada akhirnya, keinginan untuk bercuti tetap ada. Cuma cara kita memenuhi keinginan itu semakin berubah.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah