Sebenarnya saya sudah lama teringin untuk ‘bercuti’ di Palm Garden Hotel, Putrajaya. Namun tidak berkesempatan. Jadi, apabila mendapat undangan baru-baru ini, hati memang berbunga kerana akhirnya hasrat itu tercapai.

Selain lokasinya yang tidak begitu jauh dari rumah, saya juga tertarik dengan suasana di sekeliling hotel. Walaupun terletak di kawasan bandar, Palm Garden Hotel, Putrajaya masih dikelilingi kehijauan yang mencipta suasana tenang dan santai.

Ada sesuatu tentang hotel ini yang membuatkan saya rasa, kalau datang untuk staycation, tidak perlu pun merancang terlalu banyak aktiviti di luar, dan itulah yang saya lakukan.

Sepanjang tiga hari dua malam menginap di sini, saya langsung tidak ke mana-mana. Tidak keluar mencari tempat makan, tidak mengejar tarikan pelancongan dan tidak juga sibuk menyusun jadual untuk penuhi masa. Saya hanya mahu menikmati hotel ini sepenuhnya.

Saya menginap di Tamera Room, bilik dengan katil bersaiz king serta balkoni yang menghadap taman dan kolam renang. Hiasan dalamannya tampil elegan dengan suntikan elemen budaya Malaysia.

Biliknya luas dan selesa, jadi tidaklah terasa ‘terkurung’. Selepas seharian bersantai, memang seronok juga menghabiskan masa dengan menonton filem di televisyen atau sekadar berehat tanpa perlu memikirkan jadual seterusnya.

Minum Kopi Kampung, Fine Dining di Restoran Peranakan

Antara perkara kecil yang saya suka ketika menginap di sini ialah pengalaman ‘Kopi Dulu’ di Courtyard. Setiap hari, tetamu boleh menikmati minum petang percuma dengan kopi kampung dan kuih-muih Melayu.

Pengalaman ini cukup menyenangkan. Petang-petang, duduk santai menikmati secawan kopi sambil mengunyah kuih tradisional, tanpa perlu memikirkan hendak ke mana selepas itu.

Satu lagi pengalaman menjamu selera yang tidak boleh dilupakan ialah peluang menikmati makan malam di Madam Lee Nyonya Private Dining pada malam pertama.

Ini mungkin antara kejutan paling menarik sepanjang staycation ini. Saya benar-benar terpesona dengan rekaan dalaman restoran ini. Tak sangka ada sebuah restoran Peranakan yang begitu cantik di Putrajaya.

Kalau anda bermalam di sini, saya sangat rekomen supaya singgah dan luangkan sedikit masa untuk menikmati suasana restoran ini. Maksudnya bukan sekadar datang untuk makan, tapi mencuba pakaian tradisional Baba dan Nyonya yang disediakan untuk bergambar.

Malam itu, kami mulakan dengan Pie Tee sebagai pembuka selera sebelum menikmati beberapa hidangan lain seperti udang masak asam jawa, ayam kapitan, terung goreng bercili dan Nasi Ulam Nyonya.

Sesi makan malam ini saya sudahi dengan sago cha cha dengan aiskrim keladi. Tiada penyesalan. Rasanya cukup sempurna dan sehingga hari ini, saya masih teringat-ingat dengan kelazatannya.

Palms Café pun tidak mengecewakan

Palms Café menjadi antara tempat yang paling banyak saya kunjungi sepanjang berada di sini. Inilah tempat saya menikmati sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Pilihannya cukup pelbagai, daripada sarapan tempatan dan continental hinggalah bufet makan tengah hari dengan hidangan Melayu yang menyelerakan. Antara hidangan yang saya suka ialah kari ketam, sambal sotong, daging salai masak lemak cili padi dan seafood on ice.

Untuk makan malam pula, saya sempat mencuba hidangan ala carte iaitu tomyam makanan laut dan ribeye steak yang dihidangkan bersama sayur-sayuran serta kentang putar. Apa yang saya suka, saiz hidangannya agak besar dan kedua-duanya menepati selera. Untuk pemanis mulut, saya cuba puding roti yang ditaburi dengan strawberi, dan kismis.

Jadi, sepanjang tiga hari dua malam di sini, saya memang ‘bertapa’ di hotel.

Secara peribadi, saya anggap itulah kekuatan utama sebuah staycation. Apabila sebuah hotel mempunyai bilik yang selesa, makanan yang cukup pelbagai dan pengalaman yang membuatkan kita tidak terasa perlu untuk keluar, itu bermakna hotel tersebut sudah berjaya memberikan apa yang dicari.

Palm Garden Putrajaya juga mempunyai kelebihan dari segi lokasi. Kalau tiba-tiba rasa mahu keluar membeli-belah atau sekadar mencari hiburan, IOI City Mall hanya sekitar lima minit memandu. Kalau mahu menikmati udara petang pula, boleh singgah ke Central Park.

Tetapi kalau anda tanya saya, sepanjang tiga hari dua malam itu, saya memilih untuk kekal di hotel.

@travellahmy

Kalau korang ingat staycation best kena pergi jauh, fikir balik. Rupa-rupanya ada satu resort yang tenang, penuh kehijauan, tapi masih dekat je dengan KL. Memang sesuai kalau nak recharge tanpa perlu drive berjam-jam. We spend 3 hari 2 malam di Palm Garden Hotel Putrajaya, dan honestly memang rasa macam bercuti jauh dari kesibukan bandar. Makan pun memang antara highlight kat sini! Dari hidangan Nyonya di Madam Lee Private Dining sampai ke menu sedap di Palms Café, semuanya puas hati. 😍 Yang paling I suka, setiap hari ada Kopidulu FREE dari 4.00 petang hingga 6.00 petang. Dapat minum kopi tradisional Malaysia sambil layan kuih-kuih tempatan… simple, tapi vibe dia memang lain. ☕ Kalau tengah cari idea untuk weekend getaway, family staycation atau sekadar nak “healing” sekejap, tempat ni memang patut masuk dalam wishlist korang. 📍Palm Garden Hotel Putrajaya #palmgardenputrajaya #staycation #citybreak #putrajaya @Marriott Bonvoy @Marriott Hotels

♬ original sound – Jess

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah