Jika dahulu ramai yang mengaitkan percutian dengan penerbangan jauh dan itinerari yang padat, kini semakin ramai rakyat Malaysia memilih pendekatan yang lebih santai.

Destinasi yang lebih dekat, mudah diakses dan menawarkan pengalaman autentik semakin menjadi pilihan untuk percutian pertengahan tahun.

Trend ini disokong oleh data terkini Airbnb yang menunjukkan peningkatan minat terhadap beberapa destinasi tempatan, sekali gus mencerminkan kecenderungan rakyat Malaysia untuk meneroka keindahan dalam negara tanpa perlu mengembara terlalu jauh.

Antara destinasi yang mencuri perhatian ialah Kuala Terengganu yang merekodkan peningkatan carian tertinggi dalam kalangan tetamu Malaysia.

Mercu tanda ikonik Kuala Terengganu, Jambatan Angkat Kuala Terengganu

Bandar pesisir pantai ini sememangnya terkenal dengan gabungan budaya tradisional, makanan tempatan yang menarik serta suasana yang lebih tenang berbanding bandar-bandar utama.

Selain Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka turut mencatatkan peningkatan minat dalam kalangan pelancong tempatan.

Sama ada untuk menikmati suasana bandar yang meriah atau meneroka warisan sejarah yang kaya, kedua-dua destinasi ini terus menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan percutian singkat tetapi bermakna.

Gen Z Semakin Gemar Mencari Pengalaman Baharu

Satu lagi trend yang menarik perhatian ialah perubahan corak perjalanan di kalangan Gen Z.

Generasi ini dilihat semakin cenderung memilih destinasi yang menawarkan pengalaman unik, pemandangan menarik dan peluang untuk meneroka budaya tempatan.

Pulau Pangkor muncul sebagai antara destinasi yang semakin popular dalam kalangan pengembara muda.

Dengan suasana pulau yang lebih santai dan kurang sesak berbanding destinasi pelancongan utama lain, ia menjadi lokasi ideal untuk mereka yang ingin berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Dalam masa yang sama, Pulau Pinang dan Langkawi terus menjadi pilihan popular. Selain pantai yang memukau, kedua-dua destinasi ini menawarkan gabungan makanan tempatan, aktiviti luar dan lokasi menarik yang sesuai untuk percutian bersama rakan-rakan atau keluarga.

Bangkok dan Jakarta Tetap Di Hati

Bagi mereka yang merancang percutian ke luar negara, destinasi di rantau Asia Pasifik masih mendominasi pilihan. Bandar seperti Bangkok, Jakarta, Ho Chi Minh City, Bandung, Busan, Perth dan Melbourne dilihat semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengembara Malaysia, khususnya Gen Z.

Kebanyakan destinasi ini menawarkan kombinasi budaya, makanan, hiburan dan pengalaman bandar yang menarik, selain boleh diakses dengan mudah melalui penerbangan yang agak singkat dari Malaysia.

Inspirasi Penginapan Untuk Percutian Akan Datang

Mengikuti trend perjalanan ini, Airbnb telah berkongsi beberapa penginapan unik yang boleh dijadikan inspirasi untuk percutian seterusnya.

Di Langkawi, vila Tropical Rice Fields Oasis yang dikelilingi sawah padi yang subur menjanjikan sebuah pengalaman berbaloi. Bangun dengan pemandangan Gunung Machincang yang megah. Vila ini direka untuk mereka yang menginginkan ketenangan dalam kemodenan. Inilah tempat untuk berehat, bersantai dan menikmati rentak perlahan kehidupan di pulau.

Bagi mereka yang sukakan suasana pantai pula, boleh luangkan masa bercuti di Teratak Sekuchi di Terengganu. Terletak di Mengabang Telipot, sebuah perkampungan nelayan di Terengganu, Teratak Sekuchi memberikan pengalaman kehidupan pesisir pantai yang tradisional dengan sentuhan keselesaan moden serta akses langsung ke pantai.

Teratak Sekuci

Peminat sejarah dan warisan pula boleh mempertimbangkan Rumah pra-perang yang dipulihara di Melaka, terletak berhampiran tarikan ikonik seperti Jonker Walk dan Dutch Square.

Rumah Pra-perang

Bagi mereka yang merancang percutian ke Australia atau Thailand, Airbnb turut menampilkan beberapa penginapan unik termasuk banglo warisan di Fremantle, Perth serta rumah antik yang menghadap Terusan Bangkok Yai di Bangkok.

Banglo Federation 1901 di Fremantle, Perth
Rumah Antik, Bangkok

Sama ada anda merancang percutian singkat dalam negara atau meneroka destinasi baharu di rantau Asia Pasifik, trend tahun ini menunjukkan bahawa pengalaman yang bermakna tidak semestinya perlu pergi jauh. Kadangkala, destinasi terbaik mungkin berada lebih dekat daripada yang kita sangka.

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah