Dunia fesyen dan muzik sekali lagi bertemu dalam satu kolaborasi yang dinanti-nantikan apabila jenama denim ikonik Levi’s mengumumkan kerjasama global berbilang tahun bersama penyanyi dan penulis lagu sensasi, Rosé.
Dikenali dengan gaya yang effortlessly chic serta aura rock and roll moden, Rosé membawa sentuhan peribadi yang autentik, nilai yang juga menjadi teras kepada identiti Levi’s sejak lebih 150 tahun lalu.
Kolaborasi ini menyatukan dua simbol budaya pop global: jenama denim yang telah membentuk sejarah fesyen, dan seorang artis yang mempengaruhi generasi baharu pencinta muzik dan gaya.
Sebagai ahli kumpulan K-pop terkenal BLACKPINK, serta artis solo yang berjaya, Rosé terkenal dengan gaya fesyen yang minimal namun penuh karakter. Pilihan gaya peribadinya sering menjadi inspirasi kepada peminat di seluruh dunia, menjadikan kerjasama bersama Levi’s satu padanan yang semula jadi.
Kolaborasi ini juga berkembang daripada kemunculan Rosé dalam kempen global Levi’s bertajuk ‘Behind Every Original’, yang diperkenalkan semasa acara sukan terbesar Amerika, Super Bowl.
Dalam kempen tersebut, Levi’s berkongsi kisah kreatif Rosé melalui segmen “Backstory”, yang memberi gambaran tentang perjalanan artistik dan inspirasi di sebalik identitinya sebagai seorang bintang global.




Salah satu momen yang mencuri perhatian berlaku ketika konsert BLACKPINK di Tokyo awal tahun ini, apabila Rosé tampil memukau di pentas dengan busana khas Levi’s yang direka khusus untuk persembahannya.
Rekaan tersebut menampilkan denim premium, kemasan inovatif serta sentuhan pertukangan tangan yang menonjolkan keindahan fesyen denim moden.
Sebagai penghargaan kepada peminat, busana pentas tersebut kini dipamerkan di butik Levi’s di kawasan fesyen terkenal Harajuku bagi membolehkan peminat melihat dengan lebih dekat hasil perincian yang menjadikan penampilan Rosé begitu ikonik.
Kerjasama ini juga bakal berkembang kepada koleksi produk eksklusif yang dijangka dilancarkan pada akhir tahun ini. Koleksi tersebut dijangka menggabungkan visi kreatif Rosé dengan DNA denim klasik Levi’s, sekali gus memberi peluang kepada peminat mengekspresikan gaya peribadi mereka melalui helaian yang diinspirasikan oleh ikon global itu.
Dengan pengaruh budaya pop yang semakin merentasi sempadan, kolaborasi antara Levi’s dan Rosé bukan sekadar kerjasama fesyen — ia adalah simbol bagaimana muzik, gaya dan identiti diri dapat bersatu untuk mencipta impak global yang baharu.

