Sempadan negara telah dibuka dan kini rakyat Malaysia sudah boleh mengembara semula. Indonesia yang merupakan salah satu negara jiran terdekat kita juga sudah mula mengalu-alukan kedatangan para pelancong dari luar.

Selain Bali dan Jakarta, Bandung merupakan destinasi yang paling sering dikunjungi rakyat Malaysia kerana pelbagai tarikan yang ada di sana.

Biarpun Bandung ditumbuhi ratusan hotel namun hotel-hotel butik semakin mendapat tempat di bandar popular itu. Ini kerana hotel-hotel butik ini masih mampu menawarkan perkhidmatan setaraf hotel-hotel bintang antarabangsa. Dan lebih istimewa lagi, mereka sering menyediakan ciri-ciri unik di bilik ataupun kemudahan lain bagi menarik minat para tamu.

Salah satu hotel unik yang dimaksudkan adalah Creative Rest(Art) Hotel atau CARTEL yang terletak di kawasan atas bukit, di Dago.

Hotel ini merupakan cetusan dari jenama pakaian Damn! I Love Indonesia yang terkenal dengan hasil seni karya anak tempatan negara tersebut.

Dengan terciptanya hotel ini ia menawarkan kelainan dari segi penginapan dan senireka kemudahan-kemudahan hotelnya.

CARTEL di Bandung mempunyai lokasi yang strategik kerana terletak di kawasan Dago yang terkenal dengan pelbagai kafe menarik di kawasan pergunungan dan tidak terlalu jauh dari kawasan perdagangan Bandung juga.

Ia dibina untuk menjadi sebuah hotel butik yang kaya dengan keunikan dari segi konsep senilukis moden. Ia merupakan hotel yang menggabungkan konsep senireka dari unsur seni moden, dan seni komik para seniman Indonesia.

Kala melangkah masuk sahaja ke perkarangan hotel, para tamu akan rasa seperti masuk ke dalam sebuah studio seni moden atau galeri seni. Dengan aneka warna-warni serta ajnas bentuk dan rupa, semuanya tampak pelik namun sangat menarik. Malah senireka bangunannya dari luar sahaja sudah pasti mendapat perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya dari jauh.

Yang menjadikannya lebih eksklusif adalah, hotel ini mempunyai 20 buah bilik sahaja namun setiap bilik mempunyai senireka dalaman serta tema tersendiri hasil garapan pelukis-pelukis hebat Indonesia.

Kesemua bilik mempunyai perkhidmatan sambungan internet wi-fi percuma serta kemudahan elektronik terkini seperti televisyen dengan saluran satelit.

Kebanyakan hasil seni mereka yang kontemporari diabadikan dalam setiap pelusuk hotel dari bilik, lobi sehinggalah ke restoran dan ruang-ruang khas lain.

Setiap bilik menampilkan tema yang berbeza mengikut karya seni pelukis yang mereka setiap bilik.

Terdapat bilik yang memaparkan tema watak komik dan animasi terkenal seperti Gundala dan watak-watak lain dari siri komik Indonesia, Bumi Langit dan macam-macam lagi.

Ia juga mempunyai sebuah restoran di tingkat teratas iaitu tingkat tiga yang dikenali dengan nama Padamu Negeri.

Restoran ini menawarkan pemandangan sebahagian kota Bandung yang indah selain aneka masakan Indonesia yang sangat lazat.

Semestinya, senireka dalaman restorannya juga tidak kurang hebat.

Jelas ternyata, konsep hotel ini memang unik dan sangat menarik.

Andai berpeluang ke Bandung dan ingin mencuba sesuatu yang berbeza namun masih meriah dan tidak membebankan saku anda, bermalamlah di CARTEL atau Creative Rest(Art) Hotel! Ia pasti tak akan anda lupakan!

Untuk info lanjut layari https://linktr.ee/creativerestarthotel

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *