Menu
Gaya & Culture

Calaqisya x Disney: Calaqisya Sekali Lagi Cipta Kelainan – Raikan Watak Antagonis Disney

Tiga minggu selepas kejayaan kolaborasi sulung CalaQisya X Disney Mac lalu, jenama busana santun ini kembali dengan koleksi yang mengetengahkan aura watak jahat karakter filem Disney untuk kolaborasi kali kedua mereka dengan Disney.

Untuk kolaborasi yang malar segar ini, CalaQisya menitip semangat watak antagonis Disney yang popular iaitu Evil Queen (dalam filem Snow White), Cruella (filem 101 Dalmatians) dan Maleficent (filem Sleeping Beauty & Maleficent) sekali gus menjadikannya pencapaian yang luar biasa buat jenama lokal kegemaran wanita Muslimah lokal ini.

“Setiap kali mengulang tonton semua filem Disney ketika sedang membesar, kami mula memahami kenapa karakter ini berkelakuan sedemikian. Kami mula faham setiap kata-kata diungkap terutama bila ia dikaitkan dengan persekitaran dunia hari ini. Namun, sudah tentu ianya jauh lebih dramatis di dalam filem,” kata Yana Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif CalaQisya.

Sebagai contoh, Cruella adalah individu yang bercita-cita tinggi, Evil Queen seorang yang bangga diri tetapi hakikatnya dia seorang wanita yang mengagungkan kecantikan. “Tapi kini, kita boleh saja capai kecantikan itu dengan produk penjagaan wajah, tak perlu sehingga membunuh Snow White,” selorohnya.

Manakala, Maleficent dalam filem yang mengupas watak dirinya adalah seorang yang tidak mudah percaya kepada orang lain namun akan lakukan apa saja untuk melindungi mereka yang disayanginya. 

“Saya sendiri cukup rasa dekat dengan watak Cruella. Kata-katanya yang berbunyi ‘Lebih ramai wanita kalah dalam perkahwinan berbanding bila berdepan kebuluran, penyakit dan bencana’ cukup menusuk kalbu. Mungkin tidaklah sedramatis Cruella tetapi ia adalah ungkapan yang saya akan kaitkan dengan perkahwinan dan bila mencari teman hidup,” kata Yana.

Justeru, watak wanita antagonis Disney menjadi akar inspirasi koleksi CalaQisya yang menekankan konsep ‘sisi jahat dalam diri kita’ yang mungkin wujud individu sekeliling tak kira rakan taulan mahupun ahli keluarga. 

REKAAN & KONSEP LUAR BIASA

Sebanyak enam rekaan kaftan polos diberi nama unik seperti  Spell, Creepers, Cruella, Vein, Conjure (hadir dalam dua versi) ditawarkan dalam 25 rona menawan untuk koleksi CalaQisya X Disney ini.

“Sedia maklum, rekaan kami dikenali lebih kasual, santai dan mesra ibu menyusu badan. Untuk koleksi istimewa ini, anda akan dapat lihat sulaman halus pada fabrik yang menekankan pada kesantuan CalaQisya. Ianya tidak keterlaluan namun kekal pada landasan tema ‘sisi jahat dalam diri kita,” tambah Yana.

Setiap jenis rekaan daripada seni garisan sehingga ke sulaman cukup terperinci hinggakan benang sulaman pada kaftan Spell dan Creepers mampu bercahaya dalam gelap. 

Ia membawa bersama mesej pengajaran yang ada kalanya, sukar hendak meneka sikap sebenar seseorang tetapi, ia mula menjadi nyata dan terang benderang apabila diselimuti gelap malam. 

Untuk koleksi terbaru ini, peminat CalaQisya boleh mula mendapatkannya dengan harga antara RM199 sehingga RM289, mulai hari ini, 7 April 2021. 

Mac lalu, CalaQisya telah mengadakan kolaborasi istimewa dengan Disney sempena tayangan filem Raya And The Last Dragon di mana koleksi kaftan dengan 5 cetakan warna berlatar belakangkan pemandangan dalam filem berkenaan selain 4 warna selendang bercetak juga getah rambut telah ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai CalaQisya dan koleksi terbaharu ini, sila layari laman web CalaQisya di www.calaqisya.com atau laman media sosial Instagram @calaqisya. 

No Comments

    Leave a Reply