Setiap kali Ramadan, saya pasti mencari peluang untuk menikmati staycation. Tahun ini, saya dan suami berpeluang meluangkan masa selama tiga hari dua malam di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie.

Bagi saya, staycation pada bulan Ramadan mempunyai keistimewaan tersendiri, ia memberi ruang untuk benar-benar berehat, memperlahankan rutin harian dan ‘recharge’ tenaga dalam suasana yang lebih tenang.

Paling penting, staycation ketika Ramadan buat semuanya menjadi lebih mudah. Tiada tekanan untuk menyediakan makanan sahur atau berbuka puasa. Semuanya sudah tersedia di hotel. Jadi, masa yang biasanya digunakan untuk memasak boleh digantikan dengan berehat, membaca, atau sekadar menikmati masa berkualiti bersama pasangan.

Untuk persinggahan kali ini, kami menginap di bilik Deluxe. Saya suka dengan konsep biliknya yang moden, kemas dan selesa. Susun atur bilik terasa praktikal dengan kemudahan yang lengkap, menjadikannya ruang yang sesuai untuk benar-benar berehat.

Kebanyakan masa saya habiskan di bilik sahaja, menikmati ketenangan, berehat sepuasnya dan meluangkan masa santai bersama suami tanpa perlu tergesa-gesa ke mana-mana.

Untuk sahur, pihak hotel menyediakan hidangan bermula seawal jam 5 pagi. Walaupun pilihannya tidak semeriah sarapan pagi biasa, ia tetap mencukupi dan sesuai untuk memulakan hari berpuasa.

Antara menu yang disediakan termasuklah nasi lemak, nasi goreng, bubur nasi, kue teow goreng, pelbagai pilihan telur, roti bakar, salad serta minuman panas. Menu yang ringkas tetapi cukup mengenyangkan sebelum memulakan hari.

Waktu yang paling dinanti tentunya adalah pengalaman berbuka puasa di restoran WARNA All Day Dining dengan bufet Ramadan bertemakan ‘Sajian Darul Ehsan Vol. 3’.

Bufet ini membawa tetamu mengembara menikmati pelbagai hidangan yang diinspirasikan daripada sembilan daerah di Selangor. Konsepnya sangat menarik kerana setiap bahagian bufet menampilkan identiti kulinari tempatan yang berbeza.

Antara hidangan pembuka selera yang mencuri perhatian ialah pelbagai ulam-ulaman tradisional seperti ulam raja, pegaga dan jantung pisang yang dipadankan dengan sambal belacan, sambal tempoyak dan sambal kicap.

@travellahmy

Nikmati pengalaman berbuka puasa yang membawa anda menjelajah citarasa seluruh Selangor di ‘Ramadan Buffet Sajian Darul Ehsan Vol. 3’ di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie. Dari 23 Februari hingga 19 Mac 2026, restoran WARNA All Day Dining menyajikan bufet istimewa yang menghimpunkan hidangan dari sembilan daerah di Selangor. Antara menu yang menarik dicuba termasuklah Nasi Ambeng Sabak Bernam, Punten Jawa bersama sambal taun berkuah, Siakap Purbakala Bakar Asam Jawa dari Klang, kambing salai, serta pilihan makanan bazar Ramadan seperti karipap, cekodok manis dan aneka gorengan lain. Tidak ketinggalan, pelbagai hidangan utama seperti nasi kukus, nasi jeera, ayam masak ros, daging masak lemak, dan sambal kerang. Akhiri juadah dengan pemanis mulut yang terdiri daripada kuih-muih Melayu, kek, ABC, aiskrim dan menu mesti cuba apam balik panas yang menjadi tumpuan ramai. Bufet sehingga 19 Mac ini cuma berharga RM128+ seorang dewasa, RM98+ warga emas, dan RM68+ kanak-kanak (7–11 tahun). Sambil menjamu selera, tetamu akan dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung, bahkan berpeluang menyertai cabutan bertuah. #bukapuasa #bufetmurah #ramadan #sajiandarulehsan #mercurekualalumpurglenmarie

♬ suara asli – AR21 – AR21

Terdapat juga hidangan seperti acar buah, kerabu pucuk paku dan rojak Klang yang memberikan sentuhan rasa tempatan yang segar.

Di bahagian hidangan utama pula, pilihan makanan sangat pelbagai. Dari sate ayam dan daging, rendang, nasi ambeng, hinggalah kepada hidangan laut panggang serta sup-sup tradisional.

Bahagian pencuci mulut pula tidak kurang menariknya. Pelbagai kuih-muih Melayu tradisional, bubur manis, dan apam balik yang dimasak secara langsung (mesti cuba!). Tidak ketinggalan, cendol dan ABC untuk penutup berbuka puasa yang sempurna.

Jadi, jika anda ingin menikmati pengalaman seperti ini, bufet Ramadan ini ditawarkan pada harga RM128+ untuk dewasa, RM98+ untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan RM68+ untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 11 tahun.

Hotel ini juga menawarkan pakej Ramadan Staycation dengan harga bermula RM268+ satu malam termasuk iftar untuk seorang, atau RM366+ satu malam termasuk iftar untuk dua orang. Untuk sahur, perlu tambah harga RM30+ untuk seorang.

Share:
, ,
You may also like
Latest Posts from Travellah