Kumpulan hospitaliti milik Malaysia, RIYAZ International Sdn. Bhd., telah memeterai kerjasama strategik dengan Jin Jiang Hotels (China Region) bagi melancarkan RJJ Hotels Sdn. Bhd. dan meluaskan operasi mereka di seluruh Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik.
Bagi meraikan detik bersejarah ini, sebuah majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran telah diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YBhg. Dato’ Hairil Yahri Yaacob, bagi pihak YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri yang turut menyampaikan ucaptama. Majlis ini dihadiri lebih 400 pemegang taruh industri, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai hab pelancongan, hospitaliti, dan pelaburan rentas sempadan.

(Di dalam foto dari Kiri ke Kanan : Zhou Wei, Vice President of Jinjiang International (Group), Zhao Qi, Party Secretary and Chairman of Jinjiang International (Group), Zhang Zhong Hao, Senior Vice President of Jinjiang Hotels (China Region), Dato’ Sri Shaheen, Group Managing Director, RIYAZ International and RJJ Hotels, Encik Mohammed Amin Mohammed Sidek, Executive Director of RJJ Hotels, Encik Amirul Rizal Abdul Rahim, Senior Director, Advertising & Digital of Tourism Malaysia and Head of Secretariat of Visit Malaysia 2026)
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan Kumpulan RIYAZ International dan RJJ Hotels, Dato’ Sri Shaheen, diikuti dengan ucapan oleh Naib Presiden Jin Jiang International, Zhou Wei.
Beberapa perjanjian penting telah dimeterai dalam majlis tersebut, termasuklah:
- Perjanjian Lesen Pengurusan (MLA) antara RJJ Hotels dan Jin Jiang Hotels (China Region)
- Perjanjian Usaha Sama antara RIYAZ International dan Permodalan Satok Berhad (PSB) untuk projek Metropolo Jin Jiang Sarawak.
- 11 Perjanjian Pengurusan Hotel serta MoU di seluruh Malaysia.
Perjanjian Lesen Pengurusan (MLA) telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Shaheen dan Zhang Zhonghao, Naib Presiden Kanan Jin Jiang Hotels (China Region), dan disaksikan oleh Zhao Qi, Setiausaha Parti dan Pengerusi Jin Jiang International Group, bersama wakil-wakil kanan daripada RIYAZ dan Jin Jiang International.
Pemeteraian perjanjian ini menandakan pelancaran RJJ Hotels sebagai sebuah platform untuk memacu pertumbuhan dan pelaburan serantau, sekali gus mengukuhkan aliran hospitaliti melangkaui Malaysia dan China.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, RIYAZ International telah mengukuhkan kedudukannya dengan portfolio yang memenangi anugerah, merangkumi The RIYAZ, Dash, The Pure dan AQVA.
Sementara itu, Jin Jiang Hotels (China Region) adalah sebahagian daripada Shanghai Jin Jiang International Hotels Co., Ltd., yang merupakan salah satu kumpulan hotel terkemuka di dunia. Dengan lebih daripada 17,000 hotel dan 1.6 juta bilik di 55 negara, portfolionya merangkumi jenama premium, pertengahan, dan ekonomi. Menerusi RJJ Hotels, kumpulan itu akan memperkenalkan lima jenama utamanya, Metropolo Jinjiang Hotels, Lavande Hotels, Jinjiang Inn, Ginco dan Renjoy ke Asia Tenggara bagi memenuhi pelbagai keperluan perjalanan merangkumi segmen perniagaan dan percutian.


RIYAZ International dan Jin Jiang Hotels menegaskan komitmen mereka untuk memacu pertumbuhan hospitaliti yang mampan, dengan Malaysia sebagai hab utama dan Asia Tenggara sebagai destinasi pengembangan seterusnya.

